Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah baik sistem kesihatan awam di negara ini susulan ancaman lima penyakit berjangkit melanda serta menjejaskan sebahagian besar daripada penduduk dunia.
Lima penyakit berkenaan iaitu Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), cacar monyet, influenza dan marburg.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, penyakit berjangkit berkenaan berada bersama masyarakat selama bertahun-tahun malah penyakit cacar juga sudah dikenal pasti sekurang-kurangnya selama 150 tahun dengan morbiditi serta mobiliti yang berpunca daripada wabak ini menjadi satu malapetaka.
Katanya, langkah kesihatan awam seperti sanitasi yang mencukupi serta vaksinasi sudah hampir menghapuskan penyakit yang berjangkit itu.
"Walaupun penyakit berjangkit seperti Covid-19 akan bersama kita bagi satu jangka masa yang lama, tetapi orang ramai juga perlu dimaklumkan supaya terus berwaspada dan mengambil langkah bagi melindungi daripada penyakit itu.
"Dalam kes cacar monyet, walaupun tidak ada kes yang dilaporkan di negara ini, kita tidak seharusnya leka memandangkan terdapat satu pengajaran penting yang boleh kita pelajari daripada masyarakat dunia," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, kemajuan dalam kesihatan awam bukan hanya memberi tumpuan kepada wabak penyakit tetapi bagi membendung penyakit dalam hadnya.
Ia boleh dilakukan dengan mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit bagi tempoh tertentu dan memastikan ia tidak berjangkit melalui hubungan rapat.
"Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan supaya menyelenggara tandas awam bagi mengelakkan penularan penyakit bawaan air selain memastikan kemudahan air mencukupi di kawasan awam untuk pengguna mencuci tangan dengan kerap.
"Sistem pelupusan yang mencukupi di tempat awam bagi barangan tercemar seperti topeng, sarung tangan dan kertas tisu juga perlu ditambah baik selain mewujudkan kesedaran mengenai perubahan iklim yang akan kekal.
"Kempen kesedaran bagi mengamalkan kebersihan yang betul dalam komuniti perlu diterapkan selain memastikan pengesanan penyakit dan menyediakan kemudahan bagi pengasingan bagi kes terbabit," katanya.
#kw CAP, KKM, kesihatan, awam, penyakit, cacar, covid-19, Georgetown