Kepala Batas: "Saya malu dengan Allah SWT jika ambil sahaja derma daripada orang ramai tanpa berusaha terlebih dahulu menggunakan segala kemampuan yang ada untuk merawat penyakit ini," kata Robiah Rosni, 41, yang menghidapi tiga jenis kanser.
Sehubungan itu Robiah mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menghasilkan pes sambal, tepung serba guna, kuih sejuk beku dan menerima pelbagai tempahan masakan untuk majlis keramaian bagi menampung kos rawatannya.
Ibu kepada tiga anak berusia 16 hingga 19 tahun itu berkata, dia berterima kasih atas keprihatinan ramai pihak termasuk jiran yang tidak putus membantu dan mendoakan dirinya untuk segera sembuh dengan penyakit yang dialami.
"Bila ramai yang tahu saya menghidap kanser, banyak bantuan dihulurkan sehingga saya rasa malu sangat dengan Allah SWT sebab ada orang lain lebih susah dan memerlukan daripada saya.

ROBIAH yang menghidap tiga jenis kanser cekal mengharungi hidup dengan berniaga menjual pes sambal. FOTO Nur Izzati Mohamad
"Saya menghargai jasa baik semua yang menyumbang tetapi saya lebih suka mereka yang mahu membantu itu membeli produk yang saya jual kerana melalui hasil niaga ini yang saya gunakan untuk tampung kos rawatan serta perbelanjaan membeli ubat-ubatan.
"Untung diterima tidaklah banyak mana tapi cukuplah untuk saya merawat penyakit dialami, yang saya berharap semua dapat teruskan berdoa saya diberikan kesembuhan kerana melalui doa memberi kekuatan kepada saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bertam Perdana di sini.
Mengulas mengenai kanser yang dihidapinya, Robiah berkata, dia pada mulanya disahkan menghidap kanser serviks pada 2016 sebelum ia merebak kepada kanser Gastric Advance dan terkini kanser Chondrosarcoma iaitu berkaitan tulang.
"Ketika menghidap kanser serviks saya menjalani rawatan dan membeli ubat yang disyorkan yang mana sel kanser saya pada ketika itu dapat dihalang merebak ke tempat lain.
"Bagaimanapun selepas suami diberhentikan kerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda pandemik Covid-19, saya sudah tidak mampu lagi membeli ubat yang disyorkan.
"Tindakan saya berhenti berkemungkinan menyebabkan sel kanser saya mula merebak kembali hingga saya mendapat dua kanser baru," katanya.
Menurut Robiah, dia terpaksa berhenti membeli ubat yang disyorkan juga kerana wang simpanan yang ada tidak mencukupi dan perlu mementingkan perkara berkaitan keperluan rumah.
"Ketika itu saya fikir belanja rumah lebih penting daripada beli ubat berkenaan, apatah lagi suami tidak ada kerja sebelum kami sekeluarga ambil keputusan untuk berniaga.
"Syukur melalui perniagaan kecil-kecilan ini dapat menampung keperluan kami dan tabung rawatan bagi mengubati penyakit saya.
"Walaupun suami kini sudah memperoleh kerja baharu, usaha niaga ini diteruskan dengan dibantu anak sulung dan kedua saya sementara mereka menunggu untuk menyambung pelajaran," katanya.
Robiah berkata, dia kini hanya bergantung kepada rawatan kemoterapi sahaja memandangkan tiada jalan lain lagi pada ketika ini bagi mengubati penyakit itu.