Ratusan minyak masak peket ditemukan terapung di perairan Indonesia disebabkan kemalangan kapal kargo pengangkut bahan keperluan asas, menurut Kementerian Perdagangan Indonesia (Kemendag).
Ketua Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Syailendra berkata kejadian itu yang membabitkan minyak masak peket berjenama "Fortune" berlaku di wilayah perairan Riau.
Gambar tular minyak masak terapung di perairan Indonesia.
"Maklumat dari pengeluar minyak masak, itu kerana kemalangan kapal dan minyak masaknya jatuh ke laut," kata Syailendra seperti dipetik portal berita detikcom hari ini.
Syailendra turut mengirimkan sebuah video kepada detikcom mengenai nahas kapal kargo Aneka Maju yang terjadi di Selat Malaka, perairan Riau.
"Itu bukan di Laut Jawa, itu di Riau. Jadi memang kemalangan. Saat ini masih dicek," katanya.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai penemuan ratusan peket minyak masak terapung di perairan Indonesia dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
Kemalangan kapal kargo sering terjadi di perairan itu disebabkan faktor cuaca dan teknikal.
Pada 5 Mei lalu, empat orang maut apabila sebuah bot laju merempuh bot kayu yang sarat dengan barang keperluan asas di Sungai Piring, Indragiri Hilir, Riau akibat kesukaran melihat kapal lain ketika belayar pada waktu malam.
Pada 10 Nov 2021, kapal kargo pengangkut bahan keperluan asas tenggelam di Perairan Karimun, Riau disebabkan cuaca ekstrem.
Sumber: Harian Metro |