LANGKAWI: Faktor
gaji rendah yang tidak banyak berubah sejak sekian lama diakui menjadi antara cabaran untuk memastikan para pelajar di negara ini terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kadar gaji yang ditawarkan tidak banyak berubah sejak dahulu lagi, tetapi, pada masa sama kos sara hidup terus meningkat.
“Jika dulu pada peringkat awal iaitu tahun 1980-an, kita bersaing atas dasar tenaga kerja murah, namun, apabila struktur ekonomi berubah kepada ekonomi bernilai tinggi, ia masih tidak capai tahap sepatutnya.
“Maka, bila anak-anak masuk ruang pekerjaan, mereka lihat belajar pun gaji tidak tinggi, jadi, itu antara cabaran yang kita hadapi,” katanya selepas merasmikan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di sini hari ini.
Pada 31 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan satu kaji selidik oleh Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.
Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019, tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun, selepas keputusan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 memasuki pasaran kerja.
Tiga faktor utama mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.
Justeru, Radzi berkata, kerajaan perlu memberi fokus kepada pembinaan ekonomi bernilai tinggi yang mana ia mampu menyumbang kepada pendapatan lebih lumayan kepada rakyat.
“Ini perkara yang kerajaan perlu beri tumpuan khusus dan kementerian akan bekerjasama dalam menyediakan keperluan pelajar supaya apabila mereka keluar nanti, mereka boleh bekerja dalam konteks ekonomi bernilai tinggi dengan pendapatan lebih tinggi,” jelasnya.
Menurutnya, dalam konteks pihaknya, apa yang paling penting adalah menyediakan pelajar sekolah dengan segala ruang untuk mereka menyambung pengajian masing-masing.
“Sebab itu, di sekolah pun kita latih kaunselor untuk memahami apa keperluan pekerjaan dan majikan pada masa akan datang. Jadi, apabila habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak-anak ini sudah tahu kalau nak buat teknikal dia nak pergi ke mana, kalau minat Sains dia pergi ke mana.
“Guru-guru akan terus membantu anak-anak ini bagi memastikan mereka supaya faham apakah perjalanan yang terbaik untuk masa depan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, kementerian akan melatih dan menanam minat pelajar secara semula jadi daripada sistem persekolahan serta melihat arah masa depan mereka.
“Jika sejak kecil mereka didedahkan dengan pelbagai ruang dan peluang yang ada, kita dapat membina anak ini untuk bersedia pergi ke peringkat lebih tinggi seterusnya ke peringkat alam pekerjaan,” katanya. –
UTUSAN ONLINE