|
Ulama kanan Taliban maut dibunuh Daesh
Anggota keselamatan Taliban memperketatkan kawalan selepas Daesh membunuh ulama kanan, Rahimullah Haqqani. - Foto EPA
KABUL: Seorang ulama kanan Taliban yang terkenal dengan ceramah lantang mengkritik Daesh, terbunuh di madrasahnya di Kabul semalam dalam serangan pengebom berani mati yang didakwa didalangi kumpulan militan itu.
Rahimullah Haqqani, yang baru-baru ini menyokong usul wanita dibenarkan hadir ke sekolah, pernah terselamat daripada sekurang-kurangnya dua cubaan pembunuhan sebelum ini, termasuk sekali di Pakistan pada Oktober 2020.
"Madrasah Sheikh Rahimullah menjadi sasaran hari ini dan beliau bersama seorang abangnya terbunuh," kata jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran, yang menambah tiga lagi cedera dalam letupan itu.
Terdahulu, Khalid memaklumkan hanya Rahimullah yang terbunuh, manakala empat lagi cedera.
Jurucakap kerajaan Afghanistan, Bilal Karimi, mengesahkan kematian itu dan menyifatkan serangan berkenaan didalangi 'musuh yang pengecut', namun tidak memberi perincian lanjut.
Beberapa jam kemudian, Daesh menerusi Telegram mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, dan mendakwa penyerang mengaktifkan 'vest' berisi bahan letupannya di dalam pejabat Rahimullah.
Rahimullah adalah antara individu utama dalam Taliban yang menyeru penentangan terhadap Daesh, kata kumpulan pemantau militan, SITE, yang menterjemah kenyataan Daesh.
Sumber Taliban memaklumkan, meskipun Rahimullah tidak memiliki jawatan rasmi, beliau adalah individu yang amat berpengaruh dan mengajar ramai ahli kumpulan itu sejak bertahun lamanya.
Ramai anggota Taliban menzahirkan ucapan takziah menerusi media sosial termasuk bekas jurucakap polis Kabul, Mobin Khan.
"Anda sudah memenuhi tanggungjawab, takdir tidak boleh dielakkan tetapi umat Islam Afghanistan kini menjadi 'yatim piatu'," katanya.
Rahimullah dikenali dengan ucapan lantang mengkritik Daesh, yang didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan di Afghanistan sejak Taliban kembali memerintah pada Ogos tahun lalu.
Sejak beberapa bulan lalu, Rahimullah turut menyokong hak kanak-kanak perempuan untuk hadir ke sekolah. - AFP
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... -maut-dibunuh-daesh
|
|