KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengadakan pertemuan dengan penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88 (M) Sdn. Bhd bagi membincangkan isu berkaitan pencerobohan data peribadi pengguna.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pertemuan awal pagi tadi itu turut disertai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Menurut beliau, mengikut maklumat vendor yang mengendalikan perkhidmatan itu dari Singapura iaitu SISA telah mengenal pasti ancaman tersebut yang menggunakan ‘Cobalt Strike’.
“Kes ini masih dalam siasatan oleh SISA. Untuk makluman SISA juga membantu siasatan secara forensik dan pelayan (server) yang terlibat dengan serangan itu sudah dikeluarkan dari talian (offline) bagi tujuan siasatan lanjut.
“Siasatan oleh SISA masih dalam tindakan dan segala hasil siasatan akan di maklumkan kepada JPDP dan CSM oleh ipay88,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout di sekitar Kok Lanas di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.
Dalam kenyataan, iPay88 dilaporkan berkata sejak 31 Mei lalu, ia sudah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu berkenaan.
Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.-
UTUSAN