|
MIRSHA (tengah) diapit Nurdiana (kiri) dan Malisa. FOTO FB SUKIPT
Tanjung Malim: Kutipan pingat bagi Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 dibuka menerusi acara silat seni yang berlangsung di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.
Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu tunggal putera dan puteri, ganda putera dan puteri serta regu putera dan puteri.
Bagi kategori tunggal putera, pesilat dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Umar Hafiz Roslee Amir muncul pemenang pingat emas manakala perak diraih atlet tuan rumah iaitu UPSI, Akimi Lotfi Aminudin dan gangsa milik atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Nur Syahmi Rohamidi.
Sementara itu, pesilat wanita dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Mirsha Nurathiqa Mirnawan pula mengungguli acara tunggal puteri dengan perak milik Nurdiana Najwa Rashid dari UiTM manakala Malisa Khaizreen Mohamad Khaidir dari UPNM meraih gangsa.
Kategori ganda putera pula menyaksikan pingat emas dimenangi pasangan dari UIAM, perak dan gangsa masing-masing milik gandingan dari UPNM dan UPSI.
Emas bagi kategori ganda puteri pula disandang pasangan dari UPNM, manakala UPSI dan UiTM melengkapkan podium di tangga kedua dan ketiga.
Selain itu, kategori regu putera dimenangi pasukan dari UIAM dengan perak dan gangsa milik pasukan dari UPSI dan UPNM.
Kategori terakhir acara silat seni iaitu regu puteri berjaya dimenangi pasukan tuan rumah manakala perak dan gangsa milik pasukan dari UiTM dan UPNM.
Selain silat seni, beberapa acara lain turut berlangsung hari ini antaranya, bola sepak, ragbi, badminton, kayak dan futsal.
Temasya SUKIPT yang sudah memasuki edisi kelima pada kali ini mempertandingkan 21 jenis sukan dengan penglibatan sebanyak 66 universiti dari seluruh Malaysia.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... sukipt-curi-tumpuan |
|