|
Seorang remaja perempuan di Turki maut ditembak lelaki pedofil yang mengekorinya sejak tiga tahun lalu.
Suspek, Selim Tekin, 28, menembak Beyza Dogan, 16, pada bahagian leher selepas menceroboh masuk ke dalam rumah gadis itu sebelum menembak dirinya sendiri dengan pistol.
Tekin (kiri) dan Beyza
Mirror UK memetik kenyataan keluarganya di Istanbul berkata, Tekin mengekori Beyza sejak gadis itu berusia 13 tahun.
Bagaimanapun, selepas keluarga melaporkannya kepada polis, Tekin menceroboh masuk ke rumah mereka dan menembak leher Beyza, 16, pada 6 Ogos.
Kemudian dia menembak dirinya, lapor media tempatan.
Kedua-duanya pada mulanya terselamat daripada tembakan itu tetapi meninggal dunia selepas beberapa jam dibawa ke hospital, iaitu Beyza pada 8 Ogos dan Tekin, keesokannya.
Bapa mangsa sekadar memberitahu media tempatan bahawa Tekin pertama kali berhubung dengan anak perempuannya di Instagram (IG).
Dia percaya Tekin memburu anak perempuannya kerana menolak lamarannya.
Menurut media tempatan, Tekin berdepan pertuduhan penderaan seksual kanak-kanak dan hubungan seksual dengan kanak-kanak bawah umur.
Dia juga tertakluk kepada perintah sekatan tanpa had yang melarangnya menghubungi mangsa.
Media tempatan melaporkan Tekin menghabiskan masa yang singkat dalam tahanan tetapi dibebaskan ketika siasatan.
Dia juga dikatakan menculik Beyza sebanyak lima kali dan sebelum ini, pernah memecah masuk ke dalam rumah keluarga itu.
Pembunuhan wanita adalah masalah yang semakin meningkat di Turki, terutamanya selepas negara itu secara rasmi keluar dari Konvensyen Istanbul pada Julai tahun lalu.
Menurut Laporan Data Tahunan 2021 yang diumumkan oleh We Will Stop Femicide Platform, seramai 280 wanita dibunuh oleh lelaki, pada tahun lalu, manakala 217 wanita ditemukan mati secara mencurigakan.
Sumber: Harian Metro |
|