Sungai Petani: Pasukan bomba menemui mayat seorang lelaki selepas membuka pintu sebuah rumah yang berkunci di Kampung Sungai Batu, Bedong, di sini hari ini.
Mayat lelaki dipercayai warga tempatan berusia 35 tahun itu ditemukan di atas katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohamad Aslan Yusof tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada 3.12 petang.
Katanya, maklumat diterima menerusi seorang waris yang gagal menghubungi bapa saudaranya yang tinggal berseorangan di kampung itu.
"Setibanya di lokasi, didapati pintu rumah terkunci dan mangsa dipercayai berada di dalam rumah. Anggota kemudian membuka kunci pintu rumah dengan pemantauan pihak polis," katanya di sini hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, sebaik pintu dibuka, didapati seorang mangsa dipercayai sudah meninggal dunia di atas katil di dalam bilik di rumah berkenaan.
"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 3.54 petang," katanya.