View: 671|Reply: 0
|
Sayangi diri, jangan sampai kena strok
[Copy link]
|
|
Kebanyakan pesakit yang diserang strok akan hilang keupayaan dan sukar untuk bergerak. - Gambar hiasan
Sayangi diri, jangan sampai kena strok
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF
SAYU mendengar rintihan seorang sahabat yang kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya diserang strok.
Tidak pernah bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa membesarkan dua orang cahaya mata sepanjang lapan tahun usia perkahwinan, kehidupan rakan penulis ini berubah sekelip mata.
Bukan hanya perlu mencari kerja bagi menanggung keluarga, dia juga terpaksa menguruskan suaminya yang kini terlantar.
Menurut sahabat itu, dia tidak pasti apa yang menyebabkan suaminya diserang strok pada usia yang sangat muda. Reda dengan ujian Ilahi, dia kekal positif dan mengharapkan suaminya itu segera sembuh.
Di Malaysia, strok merupakan punca kematian ketiga tertinggi. Satu kajian yang dijalankan pada 2019 mendapati terdapat 47,911 kes strok setahun dan 19,928 pesakit mati disebabkan oleh strok.
Kajian ini juga menunjukkan kadar umur pesakit strok di Malaysia jauh lebih muda berbanding negara lain di Asia Tenggara.
Apa yang menyedihkan, kebanyakan pesakit strok ini hidup dengan bergantung kepada bantuan orang lain.
Menurut Pakar Perunding Bedah Otak & Saraf dari Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Nor Faizal Ahmad Bahuri, strok adalah satu kondisi kecemasan di mana aliran darah ke otak terhenti secara tiba-tiba menyebabkan kematian sel otak.
Hal ini terjadi kerana saluran darah tersumbat atau saluran pembuluh darah yang pecah menyebabkan sel otak tidak mendapat oksigen dan nutrisi yang diperlukan.
“Terdapat pelbagai risiko yang menyumbang kepada kejadian strok. Selain tekanan darah tinggi, kandungan lipid yang tinggi dalam darah juga boleh menyumbang kepada pengecilan saluran pembuluh darah.
“Obesiti di Malaysia juga adalah salah satu risiko meyebabkan strok. Kekurangan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian dan faktor pemakanan yang tidak seimbang menyebabkan badan menyimpan lemak di badan.
“Antara faktor lain yang memberi kesan kepada berlakunya strok adalah kencing manis. Kencing manis adalah satu masalah kesihatan utama di Malaysia. Risiko pesakit yang mempunyai diabetes mellitus untuk mendapat serangan strok adalah 1.5 lebih tinggi daripada orang biasa,” katanya kepada Kosmo!.
Jelasnya, tidak ramai pesakit yang boleh meneruskan kehidupan normal sekiranya berlaku pendarahan strok dan mereka mungkin kekal dalam keadaan tidak sedarkan diri selamanya.
“Mengamalkan cara hidup sihat adalah kunci kepada pengurangan risiko strok. Amalan aktiviti fizikal sebanyak 150 minit seminggu yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangat mudah dicapai.
“Individu mungkin boleh pecahkan aktiviti kepada 15 hingga 20 minit dalam sehari. Sebagai contoh, guna laluan tangga semasa berada di pejabat,” ujarnya.
Menurut Pensyarah Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Mohd. Firdaus Abdullah, individu boleh bermula dengan mencari sesuatu yang disukai.
“Individu boleh menjadi kreatif dengan menyesuaikan diri dalam 30 minit aktiviti setiap hari seperti menari sambil mendengar berita, berjalan ke kedai runcit atau berjalan-jalan sebentar selepas makan malam.
“Kekal aktif adalah perkara terpenting dalam kehidupan yang sihat dan menjadi sangat penting apabila sudah berusia.
“Jika mereka sudah bertahun tidak aktif, mulakan dengan perlahan dan sentiasa berbincang dengan doktor sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/09 ... -sampai-kena-strok/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|