Sungai Petani: Pemandu Proton Wira Aeroback yang terbabit dalam kejadian langgar lari hingga mengorbankan nyawa seorang pegawai Jabatan Imigresen di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara semalam ditahan polis, hari ini.
Pemandu terbabit yang juga lelaki warganegara Indonesia berusia 27 tahun ditahan pada 6.30 petang selepas dia tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan mendakwa dia terpaksa melarikan diri kerana bimbang dipukul selain tidak memiliki lesen memandu sah.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai dokumen perjalanan sah dan dia tinggal di Pokok Sena, Kedah.
"Semakan nombor pendaftaran kenderaan pula mendapati kereta dipandu suspek adalah milik abang iparnya yang berasa di Kuala Lumpur," katanya.
Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta sehingga dia terbabas ke lorong kecemasan .
Rakannya, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43, yang tidak sempat mengelak motosikal Muhammad Nizam patah kaki kanan.
Susulan daripada itu, polis berjaya mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan sebuah Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran TAC 5688 di Plaza Tol Gurun.
Pemandu kereta berwarna perak yang mempunyai kesan kerosakan di bahagian hadapan itu dipercayai melarikan diri selepas melanggar mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan penahanan pemandu kereta terbabit dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk direman.