Post Last Edit by attokz at 9-11-2010 11:04
* Ini merupakan kali pertama dan julung kalinya aku menghantar karya disini. Jadi, perbetulkan mana yang silap dan maafkan mana yang terkurang. Ibarat kata pepatah ~ darah setampuk pinang, umur setahun jagung, pengalaman sehijau daun, langkah kaki bertatih.
*************************
Sepotong Kisah Di Tangan Tuhan
Benarlah kata orang; bahawa jodoh dan pertemuan, kelahiran dan kematian, keuntungan dan kerugian dan segala apa yang berlaku dalam kehidupan
-- adalah ketetapan yang telah tertulis oleh tangan tuhan yang maha agung. Tulisan tentang ketetapan itu dikenali sebagai takdir/karma Ilahi.
Namanya Iss. Entah siapa yang memberikan nama yang sedemikian, dia sendiri tidak tahu. Mungkin sahaja namanya itu adalah singkatan daripada 'Insan Serba-Salah' atau mungkin juga timbul daripada perkataan 'Innocent Sharp Shooter'. Tapi menurut ketuanya, nama itu merupakan satu penghormatan dari organisasi buat dirinya sebagai salah seorang ‘Intelligent Secret Service’.
Iss mendengus. Pijar matahari yang menjamah tubuh kekarnya terasa merengsa, sekaligus membakar semak rasa dihatinya. Pergi jahanam dengan apa sahaja tafsiran terhadap namanya. Dia sendiri tidak pernah mahu ambil peduli. Pun begitu, dalam diam dia membenarkan tentang tafsiran kedua terhadap namanya. Terasa begitu dekat dengan dirinya. Terasa begitu mesra dengan jiwanya. Penembak tepat yang tidak bersalah…
Iss menyeberangi jalan yang sarat dengan aliran kereta-kereta besi yang terhasil daripada kebijaksanaan manusia. Ya, kebijaksanaan yang dipinjam dari tuhan. Tapi sayang, biasanya kebijaksanaan itu akan digadai demi nafsu. Nafsu yang selalunya membutakan mata dan hanya mahu matlamat tercapai sahaja. Dan matlamat itu akan menjadikan manusia ditimpa celaka atas ciptaan mereka sendiri. Demi nafsu. Gerutu Iss dalam dirinya sendiri.
Dia menyandang sebuah beg kulit panjang berwarna hitam pekat. Terus berjalan kehadapan. Terkadang sedikit berlari mempercepatkan rentak langkah seolah sedang dikejar hantu bernama masa. Langkahnya pantas. Geraknya cergas tapi tenang dan teratur. Riak wajah tampannya menebarkan temperamen yang unggul. Tenang.
Iss berhenti dihadapan sebuah bangunan. Merihnya bergerak-gerak bagai menelan liur yang terkumpul. Dia mendongak sedikit ke atas, memandang seimbas atau mungkin sekali sedang berkira-kira tempat arah tujunya. Perlahan dia kembali menyambung langkah, memasuki bangunan tinggi yang agam itu.
Iss keluar dari perut lif setelah tiba ditingkat paling atas. Berjalan menghala ke kiri. Dikalihnya beg kulit hitam ke bahu yang satu lagi. Selepas beberapa belas langkah, dia berhenti dan menolak pintu yang dikhususkan untuk penyelenggaraan lif. Selepas memanjat tangga yang berpusing beberapa kali, dia menolak pintu untuk keluar. Nah! Dia telah sampai di atas bumbung bangunan tinggi itu. Dia menyelinap ke celah-celah penghawa dingin dengan bilah-bilah kipas besar, yang mengeluarkan haba panas.
Langkahnya dipegunkan apabila betul-betul tiba disatu sudut di atas bangunan itu. Beg kulit hitamnya diturunkan. Dia melutut membuka beg itu. Beg yang berkunci itu berdetak sedikit apabila selaknya berjaya dirungkai. Iss mengeluarkan Anemometer Speedo, sebuah alat elektronik yang mengesan kelajuan dan tekanan angin. Iss mengangkat alat itu ke muka langit. Mengacungkannya, seperti Dewa Krishna yang mengacungkan busur panah di Medan Perang Kurusatre. Bezanya, Iss tidak melepaskan anak panah ke dada langit seperti Dewa Krishna, sekadar mencari-cari arah yang sesuai untuk mendapatkan bacaan tepat terhadap kelajuan angin yang diukur.
Setelah berpuas hati dengan bacaan daripada alat itu, Iss mengeluarkan pula selaras raifel tanpa barrel jenis Mcmillan TAC-50 buatan Amerika. Logam raifel itu berwarna kelabu. Diusapnya badan raifel itu perlahan-lahan, seolah sedang membelai wajah seseorang lagaknya. Semerta saat itu sebuah kenangan datang menerpa ke benak fikirannya. Bersambung...
|