|
Bajet 2023: Peruntukan besar perlu bagi perkukuh pendigitalan sistem pendidikan negara
(Gambar fail) Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh pendigitalan sistem pendidikan negara, peruntukan besar diperlukan bagi menyediakan fasiliti dan infrastruktur berkaitan, termasuk mendapatkan teknologi terkini untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata justeru Kementerian Pendidikan (KPM) wajar diberi lebih banyak peruntukan tambahan dalam Bajet 2023 agar selari dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan pendidikan negara.
Beliau berkata, peralatan pengajaran khususnya berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk penyediaan makmal komputer, robotik serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memerlukan kos tinggi.
"Misalnya, makmal komputer sudah mula diwujudkan di sekolah sekitar 2000 tetapi apabila sebut mengenai komputer, tidak bolehlah kita pakai yang ketinggalan zaman. Begitu juga dengan teknologi, kita memerlukan peralatan dan teknologi baharu sebagai bantuan PdP seperti yang ada ketika ini, iaitu 'papan elektronik'.
"Semua ini, mahu tidak mahu, kita perlu menyediakan kemudahan terkini merangkumi aplikasi untuk digunakan pelajar dan guru, sekali gus memastikan ia dapat dimanfaatkan semua pelajar sama ada di bandar mahupun luar bandar," katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, penyediaan kemudahan PdP yang terkini bercirikan teknologi, digital dan automasi bukan saja diperlukan di sekolah harian tetapi juga sekolah yang menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Sekiranya kerajaan mahu melihat (sebagai contoh) bidang pertanian mengaplikasikan teknologi digital, pelaburan menyediakan kemudahan dan teknologi terkini perlu bermula dari peringkat persekolahan lagi," katanya.
Menyuarakan perkara sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata peruntukan tambahan diperlukan bagi menaik taraf kemudahan ICT dalam usaha melancarkan proses tranformasi digital sistem pendidikan negara.
"Peruntukan tambahan ini bagi naik taraf ICT membabitkan 10,250 sekolah di seluruh negara kerana hari ini, kita lihat apa sedia ada pun sudah agak ketinggalan, kemudahan Internet yang lembap, begitu juga peralatan yang digunakan.
"Saya berharap keutamaan dapat diberi bagi meningkatkan sistem ICT di sekolah kerana ia amat diperlukan kini, bukan saja untuk PdP tetapi juga urusan sekolah," katanya sambil menjelaskan masalah kerencatan Internet akan menjejaskan usaha transformasi pendidikan negara.
Malah dengan adanya peruntukan tambahan itu, Alimuddin berkata, ia juga dapat menyelesaikan isu guru terpaksa menggunakan wang poket sendiri untuk mendapatkan kemudahan ICT yang baik di sekolah.
"Ini memang berlaku (guru terpaksa menggunakan wang sendiri). Malah, ada guru membeli komputer riba dan sebagainya bagi tujuan PdP. Sudah beberapa kali saya menggesa agar rebat RM1,000 diberi kepada guru untuk membeli peranti. Saya difahamkan perkara ini telah mendapat kelulusan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan," katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin menyuarakan kebimbangannya akan risiko keselamatan murid di sekolah yang tidak diselenggara mengikut jadual.
"Ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada murid. Bayangkan, tangga besi sudah berkarat dan tajam boleh mendatangkan risiko kepada murid. Ada juga bumbung sekolah yang kalau kita tengok macam nak roboh, namun pembaikan tidak dapat dilakukan kerana dipercayai tiada peruntukan," katanya.
Dalam Bajet 2022, KPM merupakan kementerian yang terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan. – BERNAMA
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... pendigitalan-sistem
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|