View: 1532|Reply: 1
|
Ford Ranger Raptor 2022 tiba di Malaysia
[Copy link]
|
|
Selepas model generasi baharu Ford Ranger tiba di Malaysia Julai lalu, kini tiba masanya varian prestasi tinggi untuk trak pikap berkenaan iaitu Ranger Raptor 2023 diperkenalkan secara rasmi di pasaran tempatan. Sama seperti pasaran Thailand, Malaysia menerima Raptor 2022 dengan enjin petrol EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo!
Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM259,888, dan hadir dengan waranti pengeluar lima-tahun, atau 160,000 km, yang mana dulu. Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan tempoh jaminan dengan penawaran perlindungan melalui PremiumCare. Ini bermakna, Malaysia tidak termasuk dalam pasaran yang masih menerima enjin diesel 2.0L Twin Turbo dari model generasi sebelumnya seperti yang diumumkan oleh Ford sebelum ini.
Malah Ranger Raptor 2022 pasaran Malaysia ini menerima enjin yang sama seperti Ford Bronco Raptor di Amerika Syarikat dengan talaan kuasa penuh 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm, jauh lebih berkuasa dari Ranger Raptor 2023 3.0L V6 Twin Turbo pasaran Eropah yang hanya menjana 288 PS dan tork maksima 491 Nm.
Enjin V6 baharu ini menampilkan blok silinder yang diperbuat dari material grafit-logam yang dipadatkan, yang menurut Ford ia adalah 75% lebih kuat dan 75% lebih tegar berbanding blok silinder besi tuang biasa. Manakala pengecas turbo untuk enjin ini pula menampilkan sistem anti-lag yang diambil dari teknologi kereta lumba, bagi memastikan penghantaran boost yang cepat setiap kali ia diperlukan.
Menurut Ford, dalam mod Baja, turbin pada pengecas turbo berkenaan akan terus berputar selama tiga saat selepas pemandu melepaskan sepenuhnya pedal pendikit, membolehkan ia membekalkan respon pendikit dengan kadar sepenuhnya apabila pedal pendikit tersebut dikerah semula selepas itu tanpa sebarang lag.
Enjin ini juga diberikan sistem ekzos aktif yang akan memberikan bunyi senyap tanpa mengganggu jiran dalam mod Quiet, dan memberikan bunyi yang jauh lebih garang dan agresif dalam mod Sport dan Baja. Menurut Ford, untuk mod Baja, ia akan memberikan bunyi seakan sistem paip terus, tetapi ia hanya untuk kegunaan off-road.
Kuasa dari enjin berkenaan disalurkan kepada kotak gear automatik 10-kelajuan, sebelum memacu semua roda menerusi sistem pacuan-empat roda sepenuh masa, yang dibekalkan bersama transfer case dua-kelajuan, serta locking differential diberikan pada gandar belakang dan hadapan.
Seperti sebelum ini, Ranger Raptor turut dibekalkan dengan mod pemanduan berbeza untuk permukaan tar dan juga off-road. Untuk jalan raya biasa, tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery. Manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.
Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.
Sistem suspensi pada Raptor ini turut berbeza dari Ranger biasa, bagi menangani kuasa lebih agresif dan juga untuk menampung pemanduan yang lebih ekstrem. Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.
Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.
Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.
Untuk rupa luaran, Ranger Raptor diberikan lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C, serta Dynamic Bending yang membolehkan ia menyuluh mengikut haluan kereta. Tulisan “FORD” pada gril hadapan juga kini lebih garang, dan seperti biasa ia menerima fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda. Rim 17-inci yang diberikan pada Ranger Raptor ini adalah lebih lebar, dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2.
Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm. Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.
Pada bahagian kabin pula, pemandu Ranger Raptor ini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik. Ford turut menyatakan bahawa tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.
Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.
Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah
Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif dengan fungsi Stop & Go ketika trafik sesak, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif serta tujuh-beg udara.
Ford Ranger 2023 pasaran Malaysia ini turut hadir dengan warna hero globalnya iaitu Code Orange, bersama tiga warna lain iaitu Absolute Black, Arctic White dan Conquer Grey.
https://paultan.org/2022/10/07/f ... 83-nm-ada-anti-lag/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
auto 10 kelajuan ko....twin turbo lg
tgk brek mcm 4 pot.... |
|
|
|
|
|
|
| |
|