|
Pelumba dari pasukan Movistar Team Ivan Ramiro Sosa Cuervo (tiga,kiri) mengekalkan Jersi Kuning manakala Jersi Hijau dimenangi oleh pelumba dari pasukan Uno- X Pro Cycling Team Erlend Blikra (tiga,kanan), Jersi Merah dimenangi oleh pelumba dari pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (dua, kiri) dan Jersi Putih dimenangi oleh pelumba dari pasukan TSG Jambaljamts Sainbayar (dua, kanan). - BERNAMA
LANGKAWI: "Sebelah kaki tak ada, tapi suku itu sudah ada".
Itu kata penyandang gelaran Raja Bukit PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, Muhammad Nur Aiman Zariff menjelang Peringkat 8 yang juga kemuncak edisi ke-26, esok.
Nur Aiman kekal menyarung Jersi Merah pada Peringkat 7 perlumbaan sejauh 107.1 kilometer (km) di sekitar Langkawi hari ini selepas laluan asal, membabitkan Gunung Raya terpaksa dibatalkan susulan tanah runtuh, semalam.
Begitupun, pelumba berusia 25 tahun itu tetap akan berwaspada dengan pencabarnya dari United Kingdom dan Australia iaitu Hugh Carthy dan Carter Bettles yang pada ketika ini berada di tangga keempat dan kelima.
Dua lagi pelumba di kedudukan kedua dan ketiga iaitu rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar dan Ivan Ramiro Sosa daripada pasukan Movistar masing-masing sudah pasti mahu mempertahankan Jersi Putih (Terbaik Asia) dan Jersi Kuning (Keseluruhan).
"Syukur Alhamdulillah masih kekal dengan jersi ini dan esok hari terakhir," kata Nur Aiman kepada media. "Strategi Aiman hari ini adalah untuk jaga orang terdekat saja kerana rakan sepasukan (Sainbayar) akan jaga untuk Jersi Putih.
"Sekarang ini, dia (Sainbayar) sedang bertarung untuk Jersi Putih, jadi takkan kacau mata untuk zon pendakian dan memberikan kepada Aiman. Apa yang penting, Aiman kena jaga pelumba di kedudukan kelima, dia tujuh mata (di belakang) Aiman.
"Dia seorang pelumba yang agresif, jadi Aiman kena ikut dia manakala yang lain itu, sudah berada jauh di belakang. Sekarang ini, Aiman boleh katakan, sudah semakin reda, cuma perlu menjaga dia saja.
"Esok perlumbaan mungkin akan menjadi lebih sukar. Hari ini juga sukar kerana semua pelumba nak berada di kedudukan terbaik (dalam klasifikasi Jersi Kuning) dan juga podium.
"Jadi, esok mungkin semua pelumba memberikan 100 peratus kerana adalah hari terakhir. Mereka tidak akan simpan lagi tenaga dan buat selagi boleh. Oleh itu, Aiman kena fokus untuk zon pendakian dan cuba terbaik, harap kali ini berjaya memenangi jersi ini," katanya.
Untuk rekod, Nur Aiman adalah pelumba pertama negara yang meraih gelaran Raja Bukit selepas edisi pertama LTdL dianjurkan pada 1996.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ertahan-jersi-merah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|