|
Qabil Irfan (kanan) meraikan kejayaan bersama Zulfahmi di Valencia, Sepanyol. - Foto ihsan FB ZK Racing
KUALA LUMPUR: Sukan permotoran dua roda negara berada di satu tahap yang lebih baik apabila bakat muda yang digilap semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan di peringkat antarabangsa.
Semalam, pelumba muda dalam pembikinan, Qabil Irfan Azlan mencipta kejutan dengan menamatkan perlumbaan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia dengan menduduki tempat ketiga.
Qabil Irfan (kanan) meraikan kejayaan menduduki tempat ketiga Perlumbaan Super Final di Valencia. - Foto ihsan FB ZK Racing
Pada saingan kemuncak musim, pelumba berusia 10 tahun dari Kuala Terengganu itu berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dan 2 dengan masing-masing berada di kedududukan kelima untuk mengumpul 22 mata.
Qabil yang kemudian bermula daripada barisan kedua Perlumbaan Super Final - yang menawarkan kutipan mata berganda - berjaya meletakkan dirinya berada dalam kelompok lima terbaik sebelum menemui garisan penamat di tempat ketiga untuk menambah 32 mata lagi.
Keputusan itu secara tidak langsung memberikannya pungutan 54 mata keseluruhan sekali gus menamatkan saingan dengan di tempat keempat keseluruhan manakala pelumba Itali, Gabriel Fabio Vuono dinobatkan selaku juara musim ini bagi kejuaraan motosikal bawah 14 tahun itu.
Vuono mengutip 91 mata termasuk 50 daripada kemenangan perlumbaan Super Final untuk muncul juara keseluruhan, mengatasi Fynn Kratochwil dari Jerman, yang mengumpul 76 mata. Penunggang Jepun, Seiryu Ikegami menduduki tempat ketiga dengan 60 mata.
"Saya bersyukur kerana akhirnya dapat mencatat kemenangan podium pada Super Final Race selepas dua kali mendapat tempat kelima di Perlumbaan 1 dan 2," kata Qabil. "Ini adalah pengalaman yang hebat dan saya harap akan mendapat peluang untuk kembali berlumba di sini pada musim depan.
"Terima kasih kepada semua yang menyokong saya khususnya kedua ibubapa saya, ZK Racing dan semua yang mendoakan saya."
Pelumba muda dalam pembikinan, Qabil Irfan Azlan tersenyum gembira selepas mencipta kejutan menduduki tempat ketiga pada perlumbaan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, semalam. - Foto ihsan FB ZK Racing.
Sementara itu, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin gembira dengan pencapaian dipamerkan Qabil yang dirumuskannya sebagai satu era baharu buat sukan permotoran dua roda negara.
"Hari yang baik untuk kita semua di Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP. Qabil menduduki tempat kelima dalam Perlumbaan 1 dan 2 dan kedudukan ketiga di Super Final, dia dapat podium.
"Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong program FIM Siri MiniGP Malaysia dan sekarang ini saya rasa sukan permotoran kita di Malaysia berada di tahap yang baik.
"Saya harap kita boleh meletakkan sukan permotoran sebagai salah satu sukan yang penting di Malaysia," kata Zulfahmi.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Adi Putra Anahar menamatkan saingan dengan berada di tempat ketujuh dalam Perlumbaan Kelayakan 1 dan terkeluar daripada saingan kelayakan kedua selepas terbabit dalam pelanggaran.
Seramai 33 pelumba daripada 16 siri kejuaraan di seluruh dunia menyertai Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP iaitu Alpe Adria (Eropah Tengah), Australia, Austria, Perancis, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Belanda, Amerika Utara, Portugal, Qatar, Sepanyol dan United Kingdom.
https://www.bharian.com.my/sukan ... kejutan-di-valencia |
|