Georgetown: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Bendera, Richie Huan Xin Yun terpaksa menunda kempen selama satu jam hari ini bagi membantu seorang wanita yang terbabit kemalangan.
Mangsa berusia 20-an yang menunggang motosikal itu dikatakan keluar dari satu simpang di Jalan Fettes di sini, sebelum terbabas selepas melanggar sebuah kenderaan lain.
Richie berkata, ketika itu dia baru sahaja selesai bertemu masyarakat di Pasar Awam Fettes Park, Tanjung Bungah di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.
Katanya, dia terdengar dentuman kuat dan melihat seorang wanita terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
"Sebenarnya saya terkejut dengan kejadian itu dan terus membantu sehingga terlupa perlu bertemu masyarakat di Padang Tembak yang dijadualkan pada jam 10 pagi.
"Saya hubungi talian kecemasan bagi mengurus mangsa supaya mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Wanita terbabit mengalami cedera di bahagian muka dan sudah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi," katanya ketika ditemui di Padang Tembak di sini, hari ini.
Menurut Richie, bantuan itu adalah kerana prihatin dengan keadaan yang menimpa mangsa dan orang ramai di situ juga turut membantu.
"Sesiapa pun kita jika terlihat kejadian seumpamanya, sudah tentu akan turut sama bantu kerana prihatin.
"Jadi, saya mohon maaf kerana terlewat satu jam kerana membantu mangsa yang perlu dirawat segera," katanya lagi.