CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 365|Reply: 0

[Kedah] Sepasang kekasih bakal doktor gigi antara dicekup berkhalwat

[Copy link]
Post time 16-11-2022 04:24 PM | Show all posts |Read mode

PASANGAN penuntut pergigian sebuah universiti yang ditahan berkhalwat di sebuah hotel di Bakar Arang, Sungai Petani di sini awal pagi tadi. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA


SUNGAI PETANI: Sepasang kekasih yang kedua-duanya bakal bergelar doktor gigi antara empat pasangan yang dicekup kerana disyaki berkhalwat di hotel bajet sekitar Sungai Petani, awal pagi ini.

Pasangan penuntut sebuah universiti yang berusia 20-an itu ditangkap dalam Operasi Khas Mencegah Mungkar oleh sepasukan pegawai dan anggota Pejabat Agama Daerah Kuala Muda bermula pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi ini setelah menerima maklumat awam dan risikan.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, pasangan itu pada mulanya enggan membuka pintu bilik hotel disewa mereka di Bakar Arang selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Kami terpaksa mendapatkan kunci pendua daripada penjaga hotel untuk membuka bilik itu selepas 30 minit memujuk mereka. Pasangan itu memberi alasan lewat membuka pintu kerana sedang bersiap untuk balik ke asrama penginapan selepas selesai berbincang tugasan universiti di dalam bilik itu,” katanya di sini, hari ini.

Penuntut perempuan berasal dari Taiping dan pasangannya yang berasal dari Selangor yang menuntut dalam bidang pergigian kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana berkhalwat.

Sementara itu, Mohd. Noor berkata, pihaknya terlebih dahulu menahan sepasang kekasih di sebuah hotel di Bandar Puteri Jaya, di sini melalui serbuan pertama.

“Kami turut menemui sebotol air ketum dalam bilik yang dihuni seorang lelaki berusia 20-an yang bekerja kilang di Kulim manakala pasangannya sanggup datang dari Baling menaiki motosikal semata-mata untuk berjumpa teman lelakinya.

“Wanita berusia sama dengan teman lelakinya itu memberi alasan kepada keluarganya dia tidak pulang ke rumah kerana bermalam di rumah kawan perempuannya,” katanya.

Kata Mohd. Noor, dalam serbuan seterusnya di sebuah hotel di Bandar Perdana, sepasang kekasih warga Indonesia turut dicekup kerana berkhalwat dan tidak dapat menunjukkan dokumen pernikahan selepas mendakwa mereka pasangan suami isteri.

“Serbuan terakhir dilakukan di sebuah hotel sama yang dihuni pasangan bakal doktor gigi berkenaan dan kami menahan seorang lelaki bekas anggota tentera dan pasangannya yang masih berkhidmat dalam pasukan beruniform itu, namun kini dalam proses peralihan.

“Mereka masing-masing berumur 40-an ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen atau bukti hubungan mahram atau suami isteri ketika disoal siasat anggota penguat kuasa.

“Ketika serbuan, didapati bilik dihuni mereka bersepah dan pasangan perempuan memberi alasan berehat sekejap sebelum menunggu hari siang untuk bergerak balik ke rumahnya di Semeling, Bedong di sini,” katanya.

Kesemua pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk proses tangkapan semula sebelum waris masing-masing dihubungi untuk membawa mereka pulang selain mengeluarkan saman untuk hadir ke pejabat agama daerah pada 24 November ini bagi melaksanakan proses undang-undang atas kesalahan yang dilakukan. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... dicekup-berkhalwat/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-3-2025 08:24 AM GMT+8 , Processed in 0.043402 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list