|
VERSTAPPEN mengakui tidak menerima sebarang arahan untuk membiarkan Perez memintasnya pada perlumbaan GP Abu Dhabi di Litar Yas Marina kelmarin.
ABU DHABI – Pelumba utama pasukan Red Bull, Max Verstappen mengakui tidak menerima sebarang arahan untuk membiarkan Sergio Perez memintasnya selepas mendominasi perlumbaan terakhir Formula Satu (F1) musim ini pada Grand Prix (GP) Abu Dhabi kelmarin.
Pada saingan itu, Verstappen yang sah mempertahankan kejuaraan dunia buat kali kedua berturut-turut mempamerkan pemanduan dalam kelas tersendiri untuk merekodkan kemenangan GP ke-15 musim ini.
Namun, nasib berbeza buat Perez yang terpaksa akur di kedudukan ketiga perlumbaan sekali gus gagal memintas carta kedua keseluruhan selepas ketinggalan tiga mata berbanding pelumba Ferrari, Charles Leclerc.
Menurut Verstappen, tiada arahan yang diberikan secara khusus oleh pihak pengurusan untuk membantu Perez menjuarai perlumbaan kali ini kerana ia bukanlah langkah terbaik bagi menamatkan saingan pada musim ini.
“Secara jujur, tiada sebarang arahan daripada mereka kerana ia adalah strategi yang boleh memakan diri kerana Ferrari agak pantas kali ini.
Mungkin jika saya membiarkan Perez mendahului saingan dan menghalang pelumba lain, ia boleh dianggap tidak adil.
“Justeru, saya percaya sudah melakukan keputusan yang tepat untuk meneruskan sahaja momentum seperti biasa dan saya pasti Perez juga memahami situasi tersebut kerana dia juga bergelut untuk bersaing pada kali ini,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Verstappen gah mengutip 454 mata selepas mengharungi 22 perlumbaan musim ini, manakala Leclerc di tempat kedua dengan 308 mata dan Perez (305 mata). – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... i-litar-yas-marina/ |
|