|
PANDELELA menunjukkan pingat emas dimenangi bagi acara 10m platform wanita, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Kuala Lumpur: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong kembali menemui sentuhan selepas meraih pingat emas di Grand Prix (GP) Fina, di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pandelela yang bergelut dalam beberapa kejohanan sebelum ini, mengungguli acara 10 meter (m) platform wanita selepas meraih keseluruhan 324.70 mata menewaskan tiga lagi peserta di pentas final.
Pingat perak milik penerjun Australia, Milly Puckeridge yang mengumpul 289.90 mata, manakala Kim Nahyun dari Korea Selatan terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila mengumpul 254.10 mata.
Ia penawar yang cukup baik buat penerjun berusia 29 tahun itu selepas berputih mata di Piala Dunia di Berlin, bulan lalu, selain turut pulang dengan tangan kosong ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Ogos lalu.
"Saya rasa prestasi pada sebelah petang lebih baik dan konsisten berbanding pusingan awal dan separuh akhir pada pagi tadi, namun perlu perbaiki taktikal dan terjunan.
"Saya perlu pertingkatkan kecergasan kerana apabila perlu beraksi dua atau tiga pusingan dalam satu hari, ia agak mencabar dari segi fizikal.
"Bagaimanapun pertandingan macam ini sangat baik untuk saya, selepas sebelum ini banyak pertandingan dibatalkan kerana pandemik Covid-19. Jadi pertandingan berterusan sangat penting untuk kembali kepada normal, " jelas Pandelela yang masih mempunyai satu lagi acara iaitu 10m platform seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri, Ahad ini.
Selain Pandelela, seorang lagi wakil negara turut berjaya menyumbang pingat emas pada hari pertama kejohanan iaitu Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal.
Tze Liang menggondol 441.35 mata, yang juga catatan terbaik pada musim ini, sementara rakan senegara, Chew Yi Wei membawa pulang pingat perak selepas meraih 406.90 mata.
Pingat gangsa pula milik penerjun Australia, Ichlan Cronin dengan meraih 402.20 mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... angkul-emas-gp-fina |
|