|
HAMILTON bersemangat dan tidak sabar untuk bersaing pada musim depan dalam usahanya untuk bangkit daripada prestasi merudum pada musim ini.
LONDON – Pemandu sensasi Mercedes, Lewis Hamilton menyifatkan dirinya kini berada dalam situasi penuh semangat dalam usahanya untuk keluar daripada situasi sukar dihadapi pasukan menjelang saingan musim depan.
Selepas cemerlang mengungguli kategori pengeluar selama lapan tahun, musim 2022 menjadi tahun mengecewakan buat Mercedes selepas tewas kepada dua pencabarnya, Ferrari dan Red Bull.
Malah, Hamilton juga tidak berada dalam prestasi terbaik seperti kebiasaan hingga memaksa rakan sepasukannya, George Russell berseorangan untuk mengutip mata buat Mercedes.
“Terdapat banyak senario seperti tahun ini, namun ia menjadi sebahagian daripada detik penting. Bagi saya, kami masih lagi layak bergelar juara walaupun dari segi angka tidak berpihak kepada kami.
“Namun, saya rasakan semua orang dalam pasukan ini adalah seorang juara kerana mereka sudah berikan segala-galanya. Tiada seorang yang berputus asa dan semua orang berjaya atasi perasaan sedih kerana gagal berada di depan.
“Jadi, bagi saya semua itu adalah lebih bermakna daripada memenangi perlumbaan,” kata Hamilton.
Pada saingan musim ini, Mercedes menamatkan saingan dengan 515 mata dalam kategori pengeluar, di belakang Red Bull (759 mata) dan Ferrari (554 mata).
Bagi kategori pelumba, Russell berada di tempat keempat keseluruhan dengan 275 mata, manakala Hamilton di tempat keenam (240 mata). – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/12 ... angkit-musim-depan/ |
|