Tasek Gelugor: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta menjelaskan jumlah sebenar eksport telur ayam berikutan bekalan domestik masih tidak pulih.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penjelasan itu diperlukan kerana ramai yang hairan mengapa bekalan telur eksport tidak bermasalah sedangkan bagi permintaan domestik, ia sering mengalami gangguan.
Katanya, KPDN juga diminta menjelaskan jumlah keseluruhan pengeluaran telur bagi lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan supaya penilaian dapat dibuat.
"Mengikut perangkaan ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), kadar pengeluaran telur negara pada 2021 adalah hampir 14 bilion biji yang mana ia adalah jumlah yang besar.
"Jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia berjumlah 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti diberitahu KPDN, jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur.
"Maksudnya, jika pengeluaran 14 bilion biji tetapi penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Berikutan itu, kata Wan Saiful, ketelusan perlu ada dalam hal ini yang mana penjelasan perlu diberikan.
"Menteri perlu segera jelaskan perangkaan sebenar jumlah pengeluaran telur tempatan dan berapa pula jumlah telur eksport? Perlu jelaskan kenapa sebenarnya bekalan domestik tidak cukup.
"Jangan sembunyikan fakta dan jangan cuba lindungi sesiapa. Selain itu, perlu juga jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan AP import oleh kerajaan dan apakah dengan jaminan Fuziah Salleh (Timbalan Menteri KPDN) bahawa dalam masa dua bulan lagi bekalan telur akan pulih.
"Adakah AP Import ini akan dihentikan pada April ini kerana kita tidak mahu ada pula kroni baru mengambil keuntungan daripada kesengsaraan rakyat," soalnya.
Terdahulu, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu membuat teguran secara sinis terhadap Fuziah yang mengeluarkan kenyataan 'kita tidak boleh hendak paksa dia (ayam) bertelur' dalam satu program di Bentong, Pahang yang disifatkan sebagai tidak kompeten.
"Berhentilah tunjuk tidak kompeten dengan idea seperti 'tidak boleh paksa ayam bertelur' dan 'rakyat jangan makan ayam'. Kamu sudah jadi kerajaan. Cuba buat kerja betul-betul," katanya.