GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata pengurangan peruntukan bagi Ahli Parlimen untuk menguruskan keadaan kewangan negara bukan satu isu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata wakil rakyat perlu bekerja dengan peruntukan sedia ada.
"Harapnya ia akan dikaji semula sebelum peruntukan pertama diagihkan. Beri kepercayaan kepada pemimpin kita untuk mereka semak semula nanti," katanya.
Beliau ditemui media pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) KOMTAR di KOMTAR Walk di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen akan dikurangkan kepada RM1.3 juta daripada RM3.8 juta.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengawal kewangan negara dengan lebih baik, di mana ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
Anwar menjelaskan, ia membabitkan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen yang diselaraskan oleh pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyediakan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan mendesak di kawasan Parlimen tertentu, seperti membaiki infrastruktur.
Mengulas lanjut, Kon Yow berkata peruntukan pembangunan itu lebih memberi manfaat untuk masyarakat supaya Ahli Parlimen dapat menyokong mereka menerusi peruntukan bagi tujuan melaksana projek kecil serta penganjuran program.
"Semuanya untuk rakyat. Jadi, diharap ia akan dikaji semula sebelum peruntukan pertama disalurkan," katanya.