|
QUARTARARO berpuas hati dengan enjin baharu Yamaha yang lebih pantas berbanding musim lalu.
SEPANG – Selepas gagal mempertahankan gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2022, Yamaha dilihat serius untuk membangunkan jentera M1 agar mampu mengatasi pencabar utama mereka iaitu Ducati.
Pembaharuan tersebut dapat dilihat apabila enjin baharu jentera YZR-M1 2023 berada di kedudukan kedua terpantas menerusi catatan 334.3 kilometer sejam (km/j) di belakang seteru utamanya, Ducati (336.4km/j) pada sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo mengakui teruja sebaik melangkah ke garaj pasukannya dan menyifatkan ia adalah pengalaman pertama dalam karier MotoGP menguji pelbagai komponen baharu termasuk casis dan aerodinamik baharu.
“Hari ini (Jumaat) adalah hari di mana kami mencuba banyak perkara, tetapi tidak dapat pastikan sama ada membantu meningkatkan keupayaan jentera.
“Kami mencuba casis baharu, enjin dan juga aerodinamik yang semuanya memberi tanda-tanda positif, tetapi, ini kali pertama dalam karier saya melakukan ujian yang sebenar. Sebelum ini, saya hanya melakukan ujian seperti swingarm dan beberapa pelarasan biasa.
“Jadi, pada hari pertama ini keadaan menjadi sedikit kucar-kacir, tetapi ia bagus sebagai pengalaman tambahan menjelang ujian seterusnya,” katanya.
Dia menambah bahawa jentera M1 2023 mempamerkan prestasi positif terutama pembangunan enjin baharu yang lebih laju berbanding musim lalu.
“Saya fikir ia adalah langkah besar dibuat oleh pasukan terutama tambahan kelajuan pada jentera dan ia adalah bagus, tetapi ketika ini saya bergelut sedikit di selekoh. Apapun, kami mempunyai masa untuk mencuba beberapa perkara,” katanya.
Pada sesi ujian pertama di Sepang, pelumba pasukan VR46, Marco Bezzecchi mencatat masa terpantas. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/02 ... -quartararo-teruja/ |
|