|
MARQUEZ mengakui hanya satu jentera dianggap terbaik berbanding tiga lagi yang dicubanya pada sesi ujian pramusim, namun belum mampu mencabar kejuaraan.
SEPANG – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez berdepan tekanan tinggi apabila Honda mengerah segala pengalamannya untuk mendapatkan data terbaik sebelum memulakan saingan sebenar pada 26 Mac nanti di Portimao, Portugal.
Pelumba Sepanyol itu menegaskan bahawa dia mengikuti apa sahaja arahan teknikal baharu Honda agar pasukan Jepun itu mampu menyelesaikan masalah yang timbul.
Pada ujian terakhir di Sepang, kelmarin, Marquez hanya turun menguji jentera pilihannya berbanding empat jentera sebelum ini.
“Seorang pengurus teknikal baharu tiba di pasukan HRC dan dia mahu memahami banyak perkara tentang konsep jentera baharu ini.
“Saya tidak tahu kenapa, tetapi mereka mahu tahu segala-galanya. Namun, saya yakin mereka ada alasan untuk buat sedemikian. Saya tidak bertanya, hanya melakukan tugas saya.
“Saya akui keadaan sangat sukar bagi pelumba dalam ujian pramusim ini. Pelumba Honda yang paling berpengalaman ialah saya, jadi mereka memilih saya untuk mencuba semua eksperimen ini.
“Sebagai seorang pelumba adalah penting untuk memberi maklum balas, tetapi jangan menyuruh jurutera dengan idea anda tentang casis, konsep dan semua perkara ini,” tegas Marquez.
Dalam pada itu, Marquez berharap Honda dapat menutup segala kelemahan di Sepang untuk dibawa ke ujian terakhir di Portimao, Portugal awal bulan depan.
“Ketika ini saya lebih gembira dengan keadaan fizikal saya berbanding jentera.
“Di Sepang kami memulakan ujian dengan empat jentera, kemudian tiga dan hari terakhir dengan hanya satu jentera saja. Saya telah memutuskan ini adalah jentera terbaik, tetapi ia masih belum mampu untuk memenangi kejuaraan,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/02 ... a-eksperimen-honda/ |
|