View: 5061|Reply: 1
|
Bufet: Antara bajet dan selera
[Copy link]
|
|
Bufet: Antara bajet dan selera
HARGA bufet Ramadan tahun ini rata-rata bermula RM78 sehingga RM250 bagi seorang dewasa.
Kuala Lumpur: Setiap kali tiba Ramadan, tawaran hidangan bufet dengan menu istimewa yang menambat selera untuk berbuka puasa sama ada di hotel atau restoran akan muncul di pelbagai platform termasuk media sosial.
Melihat kepada cabaran ekonomi semasa, harga bufet Ramadan ditawarkan bukan murah kerana kebanyakannya mencecah ratusan ringgit meskipun masih ada di bawah RM100, namun tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Pemerhatian Harian Metro di media sosial mendapati kebanyakan harga bufet Ramadan yang ditawarkan tahun ini bermula dari RM78 hingga lebih RM250 untuk dewasa manakala RM55 hingga lebih RM200 bagi kanak-kanak.
Untuk sesetengah individu mungkin tiada masalah jika dibandingkan dengan kepuasan mereka antaranya jimat masa memasak, menikmati pelbagai juadah lazat dan suasana berbuka yang santai.
Namun, bagi pihak lain yang kurang berkemampuan, nilai bayaran berkenaan bersamaan dengan perbelanjaan barangan dapur mereka untuk dua tiga hari atau seminggu bergantung kepada jumlah ahli keluarga.
Mengulas perkara itu, Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah merangkap Timbalan Dekan Jaringan Industri Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, umat Islam harus berbalik kepada fitrah kedatangan Ramadan, bukan mencemari kesucian bulan itu dengan pembaziran atau berbelanja secara berlebihan.
"Ramadan adalah bulan ibadah dan takwa. Maka adalah tidak baik apabila ia dicemari dengan pembaziran kerana perbuatan itu disifatkan Allah dalam al-Quran sebagai amalan terkutuk dan sahabat kepada syaitan.
"Islam juga menyarankan kita jauhi tiga jenis pembaziran di bulan Ramadan iaitu makanan, waktu dan peluang mencari pahala.
Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
"Oleh itu, semua pihak perlu berjimat dalam membeli-belah supaya tidak membazir dan belilah sesuatu yang bermanfaat untuk dunia kita dan akhirat," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Ahli Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri menyarankan setiap individu merancang kewangan dengan berhemah bagi memastikan tidak berlebihan pada Ramadan.
Melihat kepada peningkatan kos sara hidup, katanya wajar setiap individu menyediakan peruntukan sesuai untuk keperluan perbelanjaan sama ada membeli juadah di bazar Ramadan atau kos menyediakan juadah sendiri.
"Saya rasa sangat tidak wajar dalam keadaan kritikal ini (perbelanjaan musim persekolahan, Ramadan dan Aidilfitri) jika kita berbelanja mahal dan mewah berbuka puasa di luar.
"Penyediaan bajet sesuai, senarai semak dan berdisiplin ketika berbelanja dapat mengelak pengguna daripada terlebih berbelanja dan mengurangkan pembaziran. Beli sekadar perlu sahaja.
"Selain itu, menyediakan menu juadah berbuka sendiri dilihat salah satu kaedah dapat membantu mengawal perbelanjaan berlebihan ketika Ramadan," katanya.
Katanya, bagi pengguna berkemampuan yang memilih berbuka secara buffet di restoran mahupun hotel, mereka perlu membuat analisis bajet terlebih dulu apatah lagi jika mempunyai ahli keluarga ramai.
"Kita perlu bijak memilih promosi bufet Ramadan yang berbaloi termasuk menawarkan kupon diskaun iaitu tempahan awal atau diskaun online," katanya.
Cabaran ekonomi semasa buat rakyat Malaysia berkira-kira sebelum membuat pilihan berbuka puasa di luar rumah.
Tak ramai sanggup 'berhabis' tempah bufet lebih RM100
Seiring dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barangan, rakyat Malaysia dilihat mengamalkan langkah penjimatan dalam berbelanja pada Ramadan kali ini.
Ia dapat dilihat berdasarkan dapatan tinjauan Harian Metro di tiga platform media sosial selama tempoh 24 jam bermula Rabu lalu.
Dalam tinjauan sejauh mana rakyat Malaysia sanggup mengeluarkan lebih RM100 untuk berbuka puasa di luar terutama bufet Ramadan, majoriti daripada mereka menyatakan tidak sanggup kerana tekanan kos sara hidup pada masa ini.
Seramai 2,800 pemilik akaun daripada 3,000 yang menyertai tinjauan itu mengundi tidak bersetuju manakala hanya 210 orang sanggup berbelanja lebih untuk bufet Ramadan.
Selain itu, sebanyak 74 peratus yang mewakili 973 pemilik akaun Instagram tidak sanggup mengeluarkan belanja lebih untuk bufet Ramadan, manakala 17 peratus (228 orang) mahu mempertimbangkan perkara itu serta sembilan peratus (115 orang) menyatakan kesanggupan mereka.
Sementara itu, sebanyak 87.7 peratus daripada 203 pemilik akaun Twitter turut tidak bersedia mengeluarkan belanja mahal untuk makan bufet pada Ramadan kali ini, manakala hanya 12.3 peratus bersetuju.
Menjengah di ruangan komen Facebook, rata-rata netizen yang membincangkan perkara ini berazam mahu berjimat-cermat dalam berbelanja pada Ramadan dan Syawal ini berikutan kesan daripada cabaran ekonomi semasa.
"Dia mampu tidak apalah, asalkan jangan membazir. Saya buka (puasa) di rumah sebab kos bufet sekarang macam budget (bajet) seminggu lauk-lauk dan sayur," kata pemilik akaun Tumiran Rahman.
Norhayati Mohd Yusoh pula berkata, dia jarang berbuka di luar kerana kosnya tidak berbaloi.
"Untuk bufet Ramadan, harga yang tak berbaloi untuk makan dalam waktu singkat sebab nak kejar Tarawih...kalau sampai sahur boleh dipertimbangkan," katanya.
Aida Yusrida berkata, dia tidak sanggup berbuka secara bufet kerana harganya bersamaan dengan perbelanjaan barangan dapur keluarganya selama tiga minggu.
"Tak sanggup, sebabnya kalau bayar satu family (keluarga) dekat RM400++ (lebih RM400), duit tu boleh beli barang dapur untuk tiga minggu. So, pakat tengok sajalah bufet tu, masak lagi syok," katanya.
Sementara itu, Sarifah Karab pula berpendapat, dia tidak akan berbuka di luar kerana tidak mahu membazir.
"Lebih baik saya masak sendiri, apa nak makan, masak sajalah. Bufet tak akan makan semua. Lebih baik masak lebih, sedekah dekat jiran-jiran daripada membazir," katanya.
Terdapat segelintir netizen berfikiran sebaliknya apabila menganggap tidak salah sesekali berbelanja untuk mencipta suasana berbeza dan bertukar selera selain berbuka puasa di rumah kerana buffet Ramadan adalah pilihan masing-masing.
Malah, ada juga antara mereka berpendapat sanggup berbelanja lebih sebagai menghargai keluarga dan anak-anak terutama isteri yang penat menguruskan rumah tangga.
Ada juga menyatakan menyimpan lebih awal untuk persiapan menyambut Ramadan dan Syawal kali ini kerana memahami cabaran ekonomi semasa.
Malah, ada berfikiran positif dengan memilih bufet Ramadan atau berbuka di luar sebagai menyokong pendapatan golongan peniaga dan premis perniagaan.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ra-bajet-dan-selera
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Iols suami isteri dari zaman bercinta sampai dah ada anak akan cari at least 1 day untuk pegi buffet ramadhan ni. Kalau makanan sedap worth it la bayar kan. Masalahnye i ni jenis tak boleh makan banyak. Agak rugi di situ. Tapi dah husband ajak ikut je lah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|