|
Francesco Bagnaia ketika bersaingan pada perlumbaan sprint di Grand Prix Portugal hari ini.
PORTIMAO – Francesco Bagnaia meraih tonik terbaik menjelang perlumbaan sebenar esok apabila pelumba Ducati itu menjuarai perlumbaan sprint pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Portugal sebentar tadi.
Meskipun diasak hebat oleh juara enam kali MotoGP, Marc Marquez dan Jorge Martin (Pramac Racing) pada awal saingan, namun pelumba Itali itu bangkit mengejar untuk menamatkan saingan itu dengan kemenangan sekali gus mengutip 12 mata penting.
Martin yang dilihat mampu melakar kemenangan selepas menguasai perlumbaan tersebut terpaksa akur tempat kedua selepas dikesan melakukan kesilapan pada pusingan terakhir. Bagaimanapun, Martin bersemangat untuk memulakan perlumbaan sebenar selepas mengutip sembilan mata penting.
Francesco Bagnaia ketika bersaingan pada perlumbaan sprint di Grand Prix Portugal hari ini.
“Meskipun perlumbaan sprint ini singkat tetapi saya menikmati sepanjang perlumbaan hari ini. Tetapi bagi saya ia tidak mudah terutama faktor angin pada hari ini. Saya menggunakan segala kesempatan yang ada untuk menjurai perlumbaan pertama ini,” kata Bagnaia.
Sementara itu, Marquez turut gembira dengan tunggangannya apabila menamatkan saingan tempat ketiga dan mengutip tujuh mata penting untuk memulakan perlumbaan sebenar esok.
Menjelang perlumbaan sebenar malam esok, Marquez akan memulakan saingan petak hadapan selepas mencatat masa pusingan terpantas dengan masa satu minit 37.226s.
Marquez akan memulakan saingan dengan disertai Bagnaia dan pelumba Pramac Racing, Martin di barisan hadapan, manakala Miguel Oliveira bermula dari petak keempat sebaris dengan Jack Miller (KTM) serta Enea Bastianini (Ducati). -AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/03 ... sprint-di-portugal/ |
|