GEORGETOWN: Jabatan Imigresen mengeluarkan 2.8 juta pasport pasca-COVID-19, peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelum itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 45 peratus memohon pasport secara dalam talian yang hanya mengambil masa tiga minit sebelum mengambil pasport antara dua hingga tiga hari.
"Saban hari, Imigresen berdepan dengan kehadiran orang ramai dan kesesakan, tapi bukanlah semua pejabatnya.
"Sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sempadan dibuka, contoh macam di Perlis pihak imigresen mengeluarkan 20 hingga 30 pasport setiap hari.
"Bagaimanapun, di Damansara, Shah Alam dan Kelana Jaya, kita keluarkan (pasport) berlipat kali ganda, maka berlaku kesesakan di sana," katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh; dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin Nasution berkata, daripada 77 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara, hanya 21 yang dikenal pasti mengalami kesesakan.
Sehubungan itu, katanya, KDN memperhalusi projek perintis untuk menjadikan permohonan pasport hanya dilakukan secara dalam talian di pejabat terpilih.
Katanya, urusan di pejabat terpilih akan menyaksikan permohonan diproses secara dalam talian di Lembah Klang kecuali bagi pemohon warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kanak-kanak yang boleh mengemukakan permohonan secara datang sendiri.
Tanpa memberi kerangka masa pelaksanaan rancangan itu, beliau berkata, pejabat pengeluar pasport dipilih di sekitar Lembah Klang memandangkan capaian internetnya adalah 100 peratus.
"Ini kawasan seperti Shah Alam, Klang, Damansara yang mana capaian internet penuh.
"Ada permohonan secara dalam talian ditolak dengan kebanyakannya membabitkan kualiti gambar, maka orang awam kena biasakan memenuhi kualiti gambar seperti diminta kerana berdasarkan data, 45 peratus permohonan secara dalam talian berjaya," katanya.
Beliau berkata, KDN akan menggantikan mesin cetak sedia ada di pejabat pengeluar pasport dengan yang berkapasiti tinggi dan mampu mencetak 1,000 pasport sehari, berbanding 450 hingga 500 ketika ini.
"Kita dalam rancangan mendapatkan mesin cetak pasport berkeupayaan tinggi yang mana 120 buku pasport boleh dicetak dalam tempoh satu jam, sekali gus kita anggar 1,000 pasport dapat dicetak sehari.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 395,000 aduan di seluruh negara setiap bulan dan sedaya upaya menyelesaikannya.
"Dalam perbincangan dengan Ketua Polis Negara, saya selalu tekankan untuk mengambil tindakan segera aduan membabitkan isu keselamatan negara dan perkara yang mencabar atau menghina agama, kaum, negara dan institusi diraja.
"Kita juga tak lupa aduan biasa seperti jenayah atau jenayah indeks," katanya.