Sungai Petani: Kejadian sebuah kereta berhenti di lampu isyarat Sungai Jagung di sini, yang didakwa pemandu mabuk dan tular di media sosial baru-baru ini sebenarnya tertidur kerana keletihan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, video berdurasi 56 saat itu dimuat naik pemilik akaun Youtube @EmyWolf98 pada 1 April lalu melalui pautan
http://tube.com/shoots/hi4SDM.
Beliau berkata, melalui video itu memaparkan beberapa orang awam sedang mengetuk tingkap untuk cuba memberhentikan sebuah kereta yang didakwa dalam keadaan mabuk.
"Selain itu, video juga didapati sudah tular di laman sosial dan mendapat perhatian umum. Berikutan itu, polis sudah mengesan pemilik kenderaan terbabit dan menjalankan siasatan terhadap pemandu iaitu lelaki berusia 33 tahun itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, hasil siasatan yang dilakukan, pemandu kereta terbabit didapati keletihan dan tertidur dalam kenderaan terbabit sementara menunggu lampu isyarat merah.
Beliau berkata, selepas lampu bertukar hijau, tiba-tiba kenderaannya dikerumuni beberapa individu yang mengetuk pintu dan cermin tingkap serta menyebut perkataan mabuk.
"Pemandu kereta terbabit terkejut dan panik dan hendak meneruskan perjalanan ke rumahnya tetapi kenderaannya tetap diketuk dan diarahkan untuk berhenti sehinggalah dia memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
"Dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Zon Delta yang tiba di lokasi tidak lama kemudian berjaya menyuraikan kekecohan itu," katanya.
Zaidy berkata, hasil pemeriksaan polis ketika itu mendapati, tiada sebarang kesan bau alkohol ketika hasil temubual yang dijalankan terhadap lelaki yang juga pemandu kenderaan terbabit.
Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang awam supaya tidak sewenangnya memuat naik gambar, video sensitif melalui laman sosial yang boleh mengundang fitnah atau kemarahan kepada masyarakat.
"Perbuatan itu boleh mengundang kemarahan kepada masyarakat dan kekacauan dalam sebarang bentuk penularan berita palsu, kecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial.
"Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Komunikasi, Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan," katanya.