KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis, hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta suapan perlindungan di perairan negeri itu.
Menurut sumber, lelaki berusia 49 tahun yang berjawatan Bintara Muda itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Langkawi pada jam 11.35 pagi tadi selepas tampil memberikan keterangan.
Suspek disyaki terbabit kes meminta wang suapan perlindungan bulanan daripada nelayan sebagai dorongan memudahkan pergerakan mereka ketika di laut.
Wang perlindungan itu dipercayai dibayar secara transaksi serta tunai atau melalui orang tengah.
"Dia akan dilepaskan selepas selesai diambil keterangan. Setakat ini, keseluruhan tangkapan adalah seramai 15 orang," kata sumber itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – BERNAMA