KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan bantuan berjumlah RM505,000 bagi tujuan pengurusan 101 masjid di seluruh Perlis bagi tahun ini.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya pengurusan masjid sentiasa berusaha untuk memastikan setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan hendaklah relevan dan berimpak kepada masyarakat.
"Sebagai kumpulan yang dipertanggungjawabkan di peringkat kariah, kepemimpinan jawatankuasa masjid diberikan mandat untuk menjalankan pelbagai aktiviti pengimarahan, ilmiah dan kemasyarakatan selari dengan dasar dan peraturan yang telah ditetapkan MAIPs," titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan MAIPs, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan melakukan simbolik penyerahan bantuan tersebut sempena Program Qiam Ramadan yang diadakan di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama Jalan Kaki Bukit, di sini semalam.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata MAIPs sentiasa memberikan kepercayaan kepada semua pengurusan masjid di seluruh Perlis untuk membantu memastikan agenda peningkatan syiar Islam sentiasa diterapkan.
"Usaha menerapkan ketakwaan dalam kalangan Umat Islam telah dijadikan sebahagian tanggungjawab jawatankuasa kariah masjid seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perlis 1990" jelas beliau.
– BERNAMA