ARAU: Sepasang baju Melayu hanya berharga RM35 untuk menyambut hari raya.
Peniaga baju Melayu dan songkok serta kelengkapan solat, Faiz Ismail, 38, mengetengahkan inisiatif dipanggilnya 'Baju Melayu Rahmah' untuk membantu rakyat membuat persiapan hari raya dengan mendapatkan kelengkapan pada harga tidak membebankan.
"Saya sahut galakan kerajaan terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada waktu ini supaya semua orang boleh merayakan Aidilfitri dengan keperluan pakaian seperti baju Melayu yang dijual pada harga berpatutan dan mampu milik.
"Macam baju Melayu dijual kami, tahun sebelum ini harganya sekitar RM80, tapi kali ini kami jual dengan harga hanya RM35 sepasang sama seperti harga sepasang kurta, manakala telekung untuk wanita pula dijual RM15 sepasang dan kain pelekat RM10 sehelai," katanya.
Ketika ditemui di kedainya di sini, Faiz berkata, 30 variasi warna Baju Melayu 'Rahmah' dijual di empat premis niaganya, termasuk di sini, Kangar Jaya, Kangar dan Changlun di Kedah.
"Kita sudah memulakan inisiatif Baju Melayu 'Rahmah' sejak awal Ramadan dengan saiz S hingga XXL," katanya memaklumkan, operasi perniagaannya bermula dari jam 11 pagi hingga 10 malam dan adakala dilanjutkan sehingga selepas solat sunat tarawih.
Ada pelanggan dari sejauh Kuala Perlis sanggup ke sini untuk mendapatkan baju Melayu dijualnya seperti Muhammad Ashraf Abdul Aziz, 21, yang memuji keprihatinan Faiz dalam membantu umat Islam di Perlis yang berdepan kekangan kewangan.
"Ia memberi kemudahan kepada golongan B40 yang terpaksa 'ikat perut' untuk berbelanja mewah dalam meraikan Aidilfitri. Selain itu, variasi saiz dan kualiti Baju Melayu ini juga sesuai untuk kebanyakan pengguna," katanya.