BUKIT MERTAJAM: Kerajaan meluluskan peruntukan RM5.4 juta bagi melengkapkan dana membina Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang, di sini, dengan kerja pembangunannya dijangka bermula tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya, memuji inisiatif kariah di situ, yang mengambil langkah proaktif mengumpul dana sehingga RM2.5 juta daripada masyarakat setempat untuk pembinaan masjid berkenaan.
"Pembinaan masjid itu sebenarnya menelan belanja RM9 juta secara keseluruhannya.
"Istimewanya Mengkuang Titi ini, (kariah) dia ambil langkah sendiri. Bila bincang dengan pegawai di ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) MOF (Kementerian Kewangan), mereka beri satu perhatian bahawa masyarakat dan kariah ini sangat proaktif. Mereka ambil ikhtiar dari awal sehingga berjaya kutip RM 2.5 juta.
"Ini satu jaminan (kepada masyarakat) dan usaha mereka sangat hebat. Penubuhan masjid ini adalah tanggungjawab bersama dan memakmurkan masjid itu seruan kepada semua," katanya pada majlis peluncuran pembangunan masjid berkenaan, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pulau Pinang turut menyalurkan dana sebanyak RM1.1 juta bagi membantu membina masjid berkenaan, yang dijadualkan siap pada 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, projek masjid itu kelak diharap didirikan dengan niat yang betul dan bukannya semata-mata untuk mempamerkan kebanggaan serta kemegahan.
"Masjid ada dua kategori, didirikan dengan semangat ketakwaan dan satu lagi masjid, yang bawa kemungkaran.
"Oleh itu, jawatankuasa masjid perlu mengusulkan kegiatan untuk mengimarahkan masjid, bawa kefahaman agama, angkat martabat umat terhadap kefahaman mereka serta mengelak kepada perpecahan," katanya.
Dengan reka bentuk bangunan dua tingkat, Masjid Mengkuang Titi, yang akan dibina di atas tanah berkeluasan 1.29 hektar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), dijangka mampu menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa.