|
Penerjun negara, Lee Yiat Qing antara atlet muda yang menyerlah pada Sukan SEA 2023 apabila menyumbang pingat emas acara terjun 10 meter platform NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berpuas hati dengan prestasi atlet muda di Sukan SEA, Kemboja yang berjaya menyumbang pingat emas buat negara meskipun baru pertama kali beraksi di kejohanan dwitahunan itu.
Hannah berkata walaupun ada beberapa sukan yang menjadi sasaran pingat tidak menepati ramalan, namun beliau tetap berpuas hati apabila jenis sukan seperti silat, wushu, golf dan karate menampilkan prestasi di luar jangka dengan menghadiahkan pingat emas buat negara melebihi sasaran.
"Setakat ini kita melihat silat sangat cemerlang, karate, wushu, golf dan olahraga serta banyak sukan, kita tumpang gembira dengan atlet muda sebab kebanyakan mereka kali pertama (bersaing di Sukan SEA).
"Ini memang sifat sukan, ia kompetitif, kadang-kadang menang dan kalah, tapi kalau kalah kita akan pastikan apa faktor kekalahan, kita tangani dan bantu kurangkan risiko kekalahan pada masa hadapan," katanya kepada pemberita pada Bengkel Serantau YSEALI Game Changers di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti prestasi cemerlang yang ditampilkan atlet di Sukan SEA bagi peruntukan dana dalam memastikan pembangunan dan kecemerlangan sukan dapat diteruskan.
"Kita akan meneliti data yang ada selepas semua selesai dan membuat kajian untuk melihat atlet cemerlang dalam suatu sukan, adakah ia disebabkan jurulatih atau latihan luar negara, dan pada yang menang sukan itu kita akan letak lebih banyak dana untuk pembangunan sukan tersebut," katanya.
Setakat ini, kontinjen negara berada di kedudukan ketujuh carta pingat dengan memungut 21 pingat emas, 22 perak dan 42 gangsa – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... let-muda-di-kemboja |
|