View: 290|Reply: 0
|
‘Doa saya sepanjang Ramadan dimakbulkan’
[Copy link]
|
|
Nur Amirul Fakhruddin Mazuki diraikan rakan-rakan sepasukan selepas merangkul pingat emas berbasikal lebuh raya lelaki Sukan SEA 2023 di Siem Reap, Kemboja semalam.
PHNOM PENH: “Sepanjang bulan Ramadan, saya banyak berdoa kepada Allah. Saya minta berilah kejayaan kepada Malaysia, tak kira siapa menang asalkan berpihak kepada skuad Malaysia.”
Itulah reaksi penuh emosi Nur Amirul Fakhruddin Mazuki sejurus selepas dinobat sebagai pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya individu lelaki Sukan SEA 2023 semalam.
Sehari selepas gagal menghadirkan kilauan emas dalam kriterium apabila meraih perak kelmarin, pelumba berusia 31 tahun itu menebus kehampaan dengan memastikan penguasaan Malaysia dalam lebuh raya dikekalkan.
“Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya. Paling manis saya menang pingat emas dalam acara kegemaran semua pelumba di rantau Asia Tenggara.
“Terima kasih kepada semua khususnya rakan sepasukan dan pihak pengurusan yang berada di Siem Reap,” katanya.
Nur Amirul mempamer kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan sejauh 150.6 kilometer (km) dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.
Dia mengetepikan pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi dan Ronald Oranza dari Filipina yang mencatat masa sama, namun kemenangan ditentukan menerusi photo finish.
Menurut Nur Amirul, pengorbanannya meninggalkan isteri dan dua anak berusia satu dan lima tahun bagi menyertai kem latihan ternyata berbaloi apabila merangkul dua pingat untuk negara.
“Apa yang boleh saya katakan kejayaan ini adalah kerjasama berpasukan yang sentiasa komited dalam mengekalkan kayuhan hingga ke garisan penamat.
“Saya melakukan persiapan rapi untuk bersaing di Sukan SEA Kemboja termasuklah memastikan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik kerana saingan daripada peserta lain cukup hebat.
“Cabaran utama adalah meninggalkan ahli keluarga terutama anak yang masih kecil demi melakukan persiapan rapi sebelum ke Kemboja,” kata pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu.
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... amadan-dimakbulkan/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|