|
Pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Kai Wun Tee meraikan kemenangan selepas menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin pada separuh akhir Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Malaysia Masters: Wei Chong-Kai Wun cemerlang ke final
KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan aksi cemerlang pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil apabila melangkah ke perlawanan akhir.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, Wei Chong-Kai Wun menyingkirkan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin menerusi aksi straight set 21-17, 22-20.
Meskipun memulakan set kedua dengan agak gementar, namun Kai Wun berkata, mereka kembali memperkemaskan permainan dan fokus untuk memasukkan bulu tangkis ke dalam gelanggang lawan.
“Set kedua itu mereka banyak menghantar bulu tangkis ke bahagian belakang, jadi ada sedikit gementar. Selepas itu, kami hanya fokus untuk masukkan bulu tangkis ke gelanggang lawan dan kutip mata demi mata.
“Ini adalah aksi final Super 500 pertama kami, jadi saya fikir ia membuka jalan untuk kami ke peringkat lebih tinggi kerana sebelum ini sering tewas di pusingan pertama dan kedua,” katanya selepas tamat perlawanan.
Menanti Wei Chong-Kai Wun di perlawanan akhir esok adalah beregu Korea Selatan, Kang Min hyuk-Seo Seung Jae yang berjaya menewaskan wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 12-21, 21-16.
“Berhubung perlawanan akhir esok, kami akan bincang dengan jurulatih (Rexy Mainaky) lagi. Kemudian, kami akan buat persiapan terbaik sebelum berjumpa mereka esok,” ujar Wei Chong.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki Malaysia melangkah ke final pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu adalah menerusi Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang melakukannya pada edisi 2019. – KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... cemerlang-ke-final/
|
|