Balik Pulau: Sebahagian jalan mengelilingi pulau, di Balik Pulau - Teluk Bahang ditutup kepada semua kenderaan dan orang awam bermula hari ini susulan kejadian cerun runtuh.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang berkata, penutupan sebahagian laluan itu adalah sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
"Penutupan ini susulan kejadian cerun runtuh akibat hujan lebat yang berlaku sejak 1 Julai lalu.
"Ia ditutup kepada semua kenderaan dan orang awam bermula hari ini sehingga diberitahu kelak bagi menjamin keselamatan," katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Menurut kenyataan itu, hanya penghuni dan pekebun yang tinggal di kawasan itu dibenar menggunakan laluan terbabit.
Katanya, papan tanda akan dipasang di kawasan tapak bagi panduan pengguna jalan raya.
"Diharap semua pengguna dan orang awam mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan serta memberi kerjasama.
"Pengguna dinasihati merancang perjalanan dan laluan alternatif lain," katanya.
Sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi Pejabat JKR Daerah Barat Daya di talian 04-866 9040 atau laman sesawang aduan
http://aduan.jkr.gov.my.