GEORGETOWN: DAP kekal bertanding di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang seperti ditandingi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Sejumlah 12 daripadanya terletak di bahagian pulau iaitu Tanjong Bunga, Air Putih, Pulau Tikus, Padang Kota, Pengkalan Kota, Komtar, Datuk Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.
Tujuh lagi kerusi DUN iaitu Sungai Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lalang, Perai, Jawi di Seberang Perai dengan semua 19 kerusi yang ditandingi dimenangi parti itu pada PRU14.
Pengerusi
DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow optimis dengan hakikat Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Pusat dilihat memberi kelebihan kepada pihaknya untuk sekali lagi mendapat mandat rakyat Pulau Pinang pada PRN kali ini.
"Sebenarnya apabila kita melihat sendiri pada masa kita mahu diadakan serentak (pilihan raya) Parlimen dan DUN sebab jika diadakan berasingan andaian pada masa itu Perikatan Nasional (PN) akan menjadi kerajaan pusat.
"Tetapi sebaliknya berlaku PH menjadi Kerajaan Pusat dan boleh menjadi sedikit kelebihan kepada kita dan sudahpun nampak (kelebihan) kelulusan (dalam) segi impak peranan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri," katanya kepada BH.
Kon Yeow berkata pada dasarnya, DAP turut berharap dapat memenuhi dasar 30 peratus dalam kalangan pimpinan wanita dan antara cabaran dalam mencapai hasrat itu ialah soal mencari calon yang sesuai.
"Pada PRU lepas kita tak capai sepenuhnya matlamat ini jadi kali ini dasar itu masih kekal sama ada kita dapat mengisi kuota itu adalah memerlukan pertimbangan sewajarnya," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata berdasarkan tinjauan pilihan raya tahun ini, kesesakan trafik berada di senarai paling atas yang menjadi kebimbangan rakyat di Pulau Pinang.
Isu lain yang mendapat perhatian rakyat di negeri ini ialah perumahan mampu milik, masalah banjir, kemudahan asas, peluang pekerjaan selain persepsi Seberang Perai kurang maju atau tidak seimbang berbanding sebelah Pulau.
"Kita juga melihat daripada 20 hingga 30 senarai isu yang dibangkitkan rakyat persepsi isu perkauman berada di senarai paling bawah mewakili cuma sekitar satu hingga dua peratus.
"Jadi ia dilihat lebih menarik perhatian orang luar berbanding rakyat Pulau Pinang sendiri yang melihat masalah lain seperti kesesakan trafik lebih penting," katanya.
Pakatan Harapan PH memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU-14 dengan 12 daripadanya dimenangi PKR selain AMANAH (dua) dan empat kerusi bekas ADUN BERSATU yang suatu ketika dulu sebahagian PH.