
Pelajar sekolah menengah disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Sik (HS), semalam selepas terlanggar lembu melintas jalan secara mengejut di Sik, Kedah. - Foto Ihsan BSYJM
SIK: Pelajar sekolah menengah maut selepas parah di kepala apabila motosikal yang ditunggang terlanggar seekor lembu yang melintas secara mengejut di Jalan Kampung Kota Bukit di sini.
Remaja lelaki berusia 14 tahun itu, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Sik (HS), semalam.
Mangsa berasal dari Kampung Banggol Jeneri, di sini,
Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang mangsa menunggang motosikal dari arah Kampung Langgok menghala Kampung Kota Bukit.
"Remaja terbabit dipercayai terlanggar seekor lembu yang melintas jalan secara mengejut menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikalnya.
"Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Bahagian Kecemasan hospital terbabit pada jam 9.35 malam tadi," katanya di sini, hari ini.
Abdull Razak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, HS, untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya tiba di lokasi pada jam 6.30 petang semalam untuk membantu remaja terbabit yang ketika itu parah akibat kemalangan itu.
Beliau berkata, mangsa diberi bantuan awal sebelum dihantar ke HS menaiki ambulans BSYJM.