ALOR SETAR: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kedah ibarat sudah dijangka, namun mengejutkan hampir semua pimpinan utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan harapan (PH) gagal menang di kerusi ditandingi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Antaranya termasuk Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, selain Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar di DUN Alor Mengkudu).
Turut tewas bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Zamri Yusof (Suka Menanti); Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh (Pengkalan Kundor) dan Pengeusi DAP Kedah, Tan Kok Yew (Derga).
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) mengesahkan penguasaan di dua pertiga daripada 36 kerusi DUN dipertandingkan di Kedah termasuk 15 kerusi yang disandang PAS.
Selain calon nama besar yang tumbang, keputusan PRN di Kedah turut menyaksikan ramai muka baharu memangi kerusi ditandingi masing-masing.
Antaranya bekas Naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman yang menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Sabrina Ahmad di DUN Jitra, selain Muhammad Radhi Mat Din yang menewaskan Mahfuz di Alor Mengkudu.
Bekas kapten bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar turut menang di DUN Gurun apabila menewaskan Firdaus Johari, manakala Dzowahir Ab Ghani menewaskan Zamri di Suka Menanti.