
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Hafiz Aswad mengumumkan kemenangan Azrul Mahathir bagi kerusi DUN Bayan Lepas selepas mengalahkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau di Dewan Bukit Belah, malam ini. - Foto NSTP/AMINAH YUSOF
BAYAN LEPAS: Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai disahkan tewas dalam saingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas sebentar tadi.
Penyandang DUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berjaya mengekalkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kerusi ditandinginya dengan meraih
15,462 undi.
Dominic selaku calon Perikatan Nasional (PN) memperoleh 13,573 undi, ketinggalan 1,889 undi di belakang Azrul daripada parti AMANAH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Azrul Mahathir ketika ditemui bersyukur kerana sekali lagi memperoleh mandat daripada rakyat, sekali gus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan ditandinginya.
"Sekarang ini perasaan masih bercampur-baur antara percaya dengan tidak kerana kita lihat persaingan amat sengit dan saya sudah berpesan dengan jentera pilihan raya kami supaya jangan ambil mudah apabila kita berdepan presiden parti.
"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden AMANAH atas kepercayaan saf kepemimpinan nasional, negeri dan peringkat kawasan yang bertungkus-lumus merencanakan strategi dan menggerakkan jentera pilihan raya," katanya ketika ditemui di Dewan Bukit Belah hari ini.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Hafiz Aswad mengumumkan kemenangan Azrul Mahathir dengan jumlah undi keseluruhan 29,035. Sejumlah 180 kertas undi ditolak, manakala 54 kertas undi tidak dikembalikan.
Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang dan Timbalan Pengerusi PN ketika ini dikhabarkan berada di ibu kota bersama pimpinan PN Pusat.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Bayan Lepas dimenangi Azrul Mahathir dengan majoriti 5,245 undi selepas memperoleh 12,504 undi dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Rusli Hashim (7,259 undi) dan Zarina Shinta Madar (2,497 undi) dari PAS.