GEORGETOWN: MRT Corp akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk melihat kesesuaian pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang di bawah tanah dan juga laut.
Bagi laluan bawah tanah, projek LRT itu dipertimbang untuk jajaran di tengah bandar, manakala bawah laut untuk jajaran menghubungkan Seberang Perai dengan kawasan pulau.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu dibentangkan MRT Corp yang mengambil alih projek berkenaan dalam mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini, semalam.
"Mereka membentangkan jajaran terkini untuk pertimbangan kerajaan negeri dan kita bersetuju dengan cadangan itu, namun MRT Corp perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan khususnya kesesuaian jajaran itu dari segi keadaan muka bumi.
"MRT Corp berkata jajaran yang dekat pusat bandar lebih sesuai bawah tanah, maka jajaran yang dekat dengan stesen pertukaran juga perlu dibina bawah tanah memandangkan jajaran dari Butterworth ke Georgetown yang dirancang melalui saluran utara adalah bawah laut," katanya kepada wartawan di sini hari ini selepas merasmikan Pameran Emas dan Barang Kemas Terkemuka Pulau Pinang 2023.
Beliau berkata, mengikut perancangan sebelum ini, jajaran LRT di negeri itu adalah struktur bertingkat dan bukannya bawah tanah.
Dari segi laluan LRT, beliau berkata ia tidak membabitkan perubahan besar, iaitu akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, seterusnya Komtar, Tanjung Bungah, Air Itam, Butterworth, Kepala Batas dan Simpang Ampat.
Projek LRT itu satu daripada usaha kerajaan Persekutuan dan negeri untuk merapatkan jurang fizikal Seberang Perai dengan kawasan pulau, selari hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat laluan LRT menghubungkan kedua-dua kawasan itu.
Mengenai model pembiayaan projek, Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata ia akan dibiayai sepenuhnya MRT Corp.
"Pembinaan LRT stesen pertukaran amat penting kerana ia melibatkan semua jajaran. Mereka perlu membuat kajian bersesuaian. Nampaknya dari segi teknikal ia amat mencabar," katanya. – BERNAMA