Sindrom orang kaku atau Stiff Person Syndrome yang melumpuhkan penyanyi Celine Dion diibaratkan umpama banduan yang dipenjarakan oleh tubuhnya sendiri dan sumber mengatakan dia mungkin tidak dapat menyanyi semula, RadarOnline.com melaporkan.
Penyanyi lagu 'My Heart Will Go On', yang mencecah 55 tahun itu dilaporkan lemah sehingga dia tidak mampu lagi keluar dari rumahnya walaupun sebentar. Dia tidak akan meneruskan semula konsert untuk 2023/2024 yang dibatalkan sejak bulan Mei, menurut sumber.
"Hampir 600 hari Celine tidak muncul di khalayak ramai kerana keadaannya itu," kata individu terdekat dengan penyanyi itu kepada The National Enquirer.
"Dia mengalami masaalah untuk berjalan disebabkan kekejangan yang serius, menyebabkan dia mudah rebah. Bahagian belakang badan telah membongkok dan kekejangan otot kadangkala terasa kesakitan sehingga tidak tertanggung.
Lebih menyedihkan, sumber itu mendakwa kesihatan pemenang Grammy sebanyak lima kali itu terus merudum.
Kakak kepada bintang terkenal itu, Claudette mengesahkan bahawa Celine masih berusaha mencari penawar bagi merawat penyakit yang berkaitan dengan autoimun yang jarang berlaku, dikatakan hanya menyerang satu dalam sejuta orang.
Claudette berkata, kesemua ahli keluarganya memohon 'keajaiban' dan kakak mereka sendiri yang dikenali sebagai Linda, telah berpindah ke kediaman Celine di Las Vegas untuk menjaganya.
Walau bagaimanapun, pakar perubatan berkata, tiada apa yang boleh menghalang penyakit itu untuk terus-menerus menyerang bukan sahaja impak terhadap tubuh malah kepada minda penyanyi itu.
RadarOnline.com cuba menghubungi wakil Celine untuk komen lanjut.