|
Seorang lelaki buntu selepas dia disyaki terbabit dalam kes ugutan jenayah.
Menurutnya semua bermula apabila dia meninggalkan komen negatif dan jelik pada satu hantaran tentang salah laku kakitangan yang dibuat di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM).
Malah dia mengaku pada Julai lalu ada meninggalkan komen untuk 'menang' pertengkaran di media sosial dengan individu tersebut yang merupakan seorang wanita.
Gambar Hiasan
Namun, komen yang ditinggalkan itu bukan sahaja jelik tetapi dianggap sebagai ancaman serta mengugut pelayar berkenaan.
"Ini bukan pertama kali, dah banyak kali saya buat di page (halaman Facebook) lain tapi sekadar gurauan. Saya ingat perkara ini tidak serius.
"Saya tulis (komen) pun semata-mata nak senyapkan dia," katanya yang turut mengakui melihat profail Facebook individu berkenaan.
Susulan komen yang dibuat, wanita berkenaan hanya senyap dan tidak memberi sebarang balasan.
Namun tanpa diduga, awal Ogos lalu dia dihubungi pegawai polis supaya hadir ke salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Johor berhubung laporan yang dilakukan terhadapnya.
Selepas merakam keterangan dan mengakui menulis komen yang dinyatakan pengadu dengan niat bergurau, dia direman kerana melakukan ugutan jenayah.
"Saya langsung tak kenal, dia di Perlis dan saya di Johor... tak pernah ke Perlis seumur hidup," katanya.
Katanya, ketika itu dia diminta menulis semua kenyataan dan menandatangani pengakuan sebelum direman, disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Telefon, laptop, iPad dan modem diambil pihak polis... saya dibebaskan," tambahnya.
Dia yang baru menyedari kesalahan tersebut adalah serius turut meluahkan rasa sedih kerana isterinya begitu marah dengan apa yang berlaku.
Bukan itu sahaja, anaknya yang berusia 17 tahun turut meluahkan perasaan di status WhatsApp, menyatakan rasa malu mempunyai bapa sepertinya.
Bapa kepada enam cahaya mata ini yang merupakan penjawat awam turut mengakui buntu dan tidak mampu mengupah peguam.
Malah isteri dan keluarga juga enggan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Justeru dia mendapat idea untuk cuba memujuk pelayar Facebook berkenaan supaya menarik balik laporannya.
Dia kemudiannya mencipta satu akaun palsu dan menghubungi wanita itu bersama suaminya.
Bagaimanapun, usahanya tidak berjaya apabila kedua-dua mereka bertindak menyekat mesej yang dihantar.
"Kemudian saya jumpa Facebook (akaun), saya percaya kakak ipar dia. Saya mesej untuk berjumpa, saya boleh hadir ke tempat kerja beliau.
"Saya juga ada WhatsApp dan hubungi mereka berkali-kali, atas alasan nak minta pujuk ahli keluarga dia," katanya lagi.
Namun tanpa diduga, sekali lagi laporan polis dibuat terhadapnya dan dia dipanggil untuk memberi keterangan.
Penjawat awam tidak dibenarkan membuat hantaran mahupun komen jelik di media sosial. -Gambar hiasan The Star/Muhamad Shahril Rosli
Penjawat awam tidak dibenarkan membuat hantaran mahupun komen jelik di media sosial. -Gambar hiasan The Star/Muhamad Shahril Rosli
"Saya mengaku sekali lagi atas niat nak berbincang supaya laporan polis pertama ditarik balik.
"egawai polis minta saya tandatangan kenyataan, rupa-rupanya saya disiasat di bawah jenayah menghendap... saya rasa saya diperdaya pegawai penyiasat," jelasnya.
Perasaan tersebut menyebabkan dia menghubungi pihak pegawai penyiasat namun individu terbabit menyatakan dia telah membuat pengakuan serta mempunyai bukti.
Malah, dia diminta untuk merujuk kes yang dialami ke biro guaman.
"Biro guaman tidak menerima kes saya dan minta saya cari peguam swasta," tambahnya.
Permasalahan yang dialami itu membuatkan dia membuat hantaran di Page Tanya Peguam bagi mendapatkan pandangan serta nasihat.
Mana tidaknya, jika dia disabit kesalahan, dia akan dibuang kerja kerana merupakan penjawat awam.
Bukan itu sahaja, keluarganya juga akan marah dan terus membenci dirinya.
"Adakah saya boleh lawan kes ini dan tidak dipenjara atau sabit kesalahan sebab saya mengaku bersalah beserta bukti untuk kedua-dua kes.
"Kalau saya didakwa, dipenjara, saya akan hilang kerja sebab penjawat awam.
"Keluarga pun akan benci saya, mentua sangat marah dan anak-anak tak bercakap dengan saya... makan sekali pun tak mahu," luahnya lagi yang mengakui telah cuba memohon maaf terhadap pelayar Facebook tersebut. -CARI
Sumber: mStar |
|