|
Pihak berkuasa di Peru mempersoalkan di mana spesimen objek yang tidak dikenali (UFO) yang dibentangkan di Kongres Mexico, pertama kali muncul.
Pembentangan melibatkan sisa tubuh makhluk bukan manusia itu mendapat kecaman di peringkat antarabangsa pada Khamis, dengan pengkritik mengecamnya sebagai "sandiwara."
Reuters
Wartawan Mexico dan penyokong tegar UFO, Jaime Maussan mempamerkan dua "tubuh" kecil yang memiliki tiga jari di setiap tangan dan kepala yang memanjang semasa pendengaran pada hari Selasa lalu, lapor Reuters.
Maussan mendakwa, objek berkenaan ditemui di Peru pada tahun 2017 dan tidak berkaitan dengan sebarang kehidupan di bumi.
Gambar-gambar semasa pendengaran kongres yang pertama kali diadakan di Mexico itu dalam masa sama mencetus minat antarabangsa serta kecaman yang besar.
Reuters
Bekas juruterbang Angkatan Laut Amerika Syarikat, Ryan Graves, yang juga menghadiri pendengaran itu untuk berkongsi pengalaman peribadinya tentang pemandangan "fenomena aneh yang tidak dikenal pasti" serta menyuarakan kritikan terhadap pembentangan tersebut.
"ersembahan semalam merupakan langkah ke belakang isu ini," kata Graves di platform media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
"Saya sangat kecewa dengan sandiwara yang tidak dapat disahkan ini," selar beliau.
Graves menegaskan, pemandangan fenomena yang tidak dapat diterangkan di ruang udara adalah "terlalu sedikit dilaporkan."
Dalam masa sama, Maussan berkata, spesimen tersebut ditemui berhampiran Garis Nazca purba di Peru dan telah diuji tarikh karbon oleh Universiti Kebangsaan Autonomous Mexico (UNAM).
Dalam laporan yang diterbitkan sejurus itu, spesimen berkenaan dianggar berusia kira-kira 1,000 tahun.
Beliau turut mendakwa, objek-objerk berkenaan tiada sebarang kaitan dengan mana-mana spesies di bumi.
Reuters
Pada penemuan sebelum ini, objek sedemikian disahkan sebagai sisa tubuh kanak-kanak yang telah diawetkan.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kebudayaan Peru, Leslie Urteaga berkata, tiada institusi saintifik di negara Amerika Selatan itu yang telah mengenal pasti sisa objek berkenaan sebagai bukan manusia dan meragui bagaimana spesimen tersebut keluar dari Peru.
"Terdapat aduan tindakan jenayah daripada Kementerian Kebudayaan terhadap beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan golongan ini," kata Urteaga kepada wartawan pada Rabu merujuk kepada Maussan dan rakan-rakannya.
"Saya akan meminta maklumat untuk melihat apa yang telah berlaku ... tentang pemindahan objek pra-Hispanik, kerana saya faham mereka adalah sebahagian daripada sisa-sisa tulang pra-Hispanik," tambahnya.
Maussan, bagaimanapun, tidak memberi sebarang ulasan mengenai dakwaan itu.
Sumber: AWANI |
|