Seorang wanita di Mamuju, wilayah Sulawesi Barat membuat laporan polis selepas dipukul suaminya berikutan lelaki itu ditangkap sedang berdua-duaan dengan seorang doktor di rumah kekasih gelapnya itu.
“Saya menangkap mereka di rumah teman wanitanya, yang merupakan seorang doktor bernama Y. Dia bekerja di Hospital Daerah Mamuju,” kata mangsa, Hamdia kepada pemberita.
Hamdia membuat laporan polis bagi kes keganasan rumah tangga. – Detik
Tambah Hamdia, suaminya yang merupakan jururawat di hospital sama, sebelum ini diketahui mempunyai teman wanita.
“Wanita itu juga pernah mengaku bahawa dia enggan memutuskan hubungan dengan suami saya. Katanya, dia amat sayangkan suami saya,” ujarnya.
Dalam kejadian semalam, Hamdia berkata, dia pergi ke rumah wanita tersebut dan mendapati suaminya membuka pintu.
Dia kemudian mendesak untuk bersemuka dengan wanita itu sebelum suaminya bertindak memukul kepalanya dengan kuat sehingga terkena dinding.
Susulan kejadian itu, Hamdia membuat laporan polis bagi kes keganasan rumah tangga.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Mamuju, Asisten Komisioner Polis Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu.
“Kami akan memulakan siasatan mengenai perkara ini,” kata Jamaluddin.
Sumber: KOSMO! Online |