Edited by pengecattaik at 6-10-2023 12:18 AM
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari berkata gabungan pembangkang itu menghormati keputusan mahkamah membatalkan kemenangan mereka di kerusi Parlimen Kemaman pada PRU15.
Katanya, kini terpulang kepada pemimpin PN, khasnya PAS, untuk menentukan sama ada mahu merayu terhadap keputusan itu. Rayuan perlu difailkan sebelum 3 Okt ini.
Ketua Pemuda PAS itu berkata, jika PN memutuskan tidak merayu terhadap keputusan terbabit, mereka akan berusaha sedaya upaya mempertahankan kerusi berkenaan.
“Insya Allah, kami akan menang sekali lagi dengan majoriti lebih besar,” katanya kepada FMT.
Pada PRU15 tahun lalu, Che Alias Hamid dari PN memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan PN selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa dibayar kepada pengundi semasa tempoh berkempen merupakan rasuah.
Berhubung isu rasuah, Fadhli mendakwa wujud dwistandard.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini menyatakan pengumuman peruntukan kerajaan dalam tempoh pilihan raya bukan rasuah.
Beliau memetik contoh pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi di Terengganu ketika berkempen untuk PRN pada 12 Ogos lalu.
Zahid dalam sebuah majlis di Dungun mengumumkan geran RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, RM200,000 kepada pasukan motosikal di seluruh negeri dan RM100,000 buat Persatuan Belia Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Fadhli berkata, berdasarkan alasan mahkamah memutuskan untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Kemaman, pengumuman Zahid merupakan rasuah. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/09/26/hormat-keputusan-mahkamah-batal-kemenangan-di-kemaman-kata-pemimpin-pas/
|