|
CARR (dua kiri) mengungguli Jersi Hijau untuk juara keseluruhan di LTdL 2023. FOTO ASWADI ALIAS
Kuala Lumpur: Sejarah tercipta di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 apabila pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr menjadi pelumba Britain pertama berjaya muncul juara keseluruhan sekali gus menyarung Jersi Hijau.
Sejak diperkenalkan pada 1996 semua juara keseluruhan hadir daripada negara Australia, Itali, Amerika Syarikat, Colombia, Afrika Selatan, Perancis, Moldova, Venezuela, Iran, Algeria dan Rusia.
Selepas berjaya menawan Genting Highlands di peringkat 'Queen Stage' pada ketinggian 1,625 meter (m), Carr yang berusia 25 tahun seterusnya tenang mengekalkan jersi berkenaan pada baki tiga perlumbaan.
"Sudah pasti ia satu kejayaan besar. Saya harap keluarga yang menonton perlumbaan ini lebih gembira dan ini satu pencapaian besar buat saya, minggu yang baik.
"Saya harap boleh kembali lagi tahun depan atau di masa akan datang," kata Carr yang menamatkan perlumbaan peringkat kelapan hari ini di tempat ke-62 daripada 110 pelumba.
Carr mencatat mencatat masa keseluruhan 29 jam 17 minit 41 saat (s) dan lebih manis kejayaan pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu disusuli dengan seorang lagi pakar pendakian, Jefferson Alexander Cepeda mengisi tempat kedua.
Kejayaan Carr menebus kekecewaan pasukan WorldTeam itu tahun lalu, apabila mereka sekadar menghuni tangga kedua keseluruhan menerusi pelumba, Hugh Carthy yang kalah di tangan wakil Movistar, Ivan Sosa.
Selain Carr dan Cepeda, EF Education membariskan dua lagi pakar pendakian pada perlumbaan edisi ke-27 ini iaitu Odd Christian Eiking, Michael Valgren dan Jardi Christiaan van der Lee.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... jarah-untuk-britain |
|