View: 3444|Reply: 0
|
Peluang Syafiq-Aifa sumbang emas keempat
[Copy link]
|
|
AKSI Syafiq dan Aira ketika menentang beregu India. FOTO SRAM
Hangzhou: Kem skuasy negara berpeluang menambah satu lagi pingat emas di Sukan Asia 2022 apabila Syafiq Kamal-Aifa Azman berjaya mara ke final acara beregu campuran selepas menewaskan beregu dari India, Anahat Singh-Abhay Singh 2-1, hari ini.
Pada pertembungan di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, aksi sengit diperagakan kedua-dua gandingan yang menyaksikan Malaysia akur tewas 11-8 pada set pertama sebelum menangan mudah 11-2 pada set kedua.
Bagaimanapun, Syafiq-Aifa sedikit cemas apabila ketinggalan 6-9 pada set ketiga namun bangkit menyamakan kedudukan kepada 9-9 sebelum menoktahkan kemenangan 11-9 pada set ketiga dalam tempoh 38 minit.
Mereka akan bertemu pilihan pertama juga dari India, Karthik Dipika Pallikal-Sandhu Harinder Pal Singh yang mengetepikan pasangan Hong Kong, Lee Ka Yi-Wong Chi Him 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Mengulas aksi separuh akhir itu, Syafiq sudah menjangkakan aksi sukar bakal diterima daripada gandingan India itu apatah lagi lawan tidak memiliki sebarang tekanan menentang gandingan negara yang berada pada ranking lebih tinggi.
"Ada tekanan sedikit untuk kami tetapi kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain supaya terus berjuang sehingga habis walaupun kami ketinggalan pada set ketiga.
"Kita akan menentang pilihan utama jadi kita akan bincangkan mengenainya malam ini. Sekarang kita rehat dulu, cuba pulih supaya dapat kembali dengan keadaan terbaik sekali gus memberikan 100 peratus untuk aksi final esok," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, Aifa juga turut bertekad untuk membuatkan Karthi-Sandhu 'berpeluh' pada aksi final nanti sekali gus mengharapkan dapat menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.
"Kita akan memberikan segalanya dan selepas itu, kita lihat apa akan terjadi. Kami perlu mengatur perancangan terbaik untuk berdepan mereka.
"Saya harap dapat meraih pingat emas dan saya akan berusaha memberikan cabaran sengit kepada mereka," kata Aifa.
Setakat ini, skuad skuasy sudah pun menyumbang satu emas menerusi acara berpasukan wanita dan satu gangsa menerusi acara berpasukan lelaki.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... umbang-emas-keempat |
|
|
|
|
|
|
| |
|