Pelakon jelita Korea Selatan, Han So-Hee dilaporkan pernah melalui detik pahit apabila perlu bekerja demi melangsaikan segala hutang piutang ibunya sendiri.
Memetik laporan portal KBizoom, sebelum dirinya bergelar pelakon popular di Korea Selatan, Han So-Hee perlu melangsaikan hutang ibunya sebanyak 20 juta Won (RM69,893.17).
Menurut wartawan terkenal Korea, Lee Jin Ho kepahitan itu mula dirasai Han So-Hee apabila dia perlu membesar bersama neneknya selepas penceraian ibu bapanya sejak dirinya berusia 5 tahun.
Sehinggalah pada usianya mencecah 17 tahun, dia mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya kerana perasaan rindu yang teramat sangat pada wanita yang melahirkannya itu.
Namun begitu, alangkah kecewanya pelakon drama ‘Nevertheless’ apabila mengetahui bahawa ibunya pernah membuka sebuah akaun bank dan membuat pinjaman dengan menggunakan namanya.
"Ibu Han So-Hee tidak membesar dan menjaganya dari kecil dengan baik. Dia juga membuka akaun bank menggunakan nama Han So-Hee sehingga menyebabkan banyak masalah buat pelakon itu.
"Selepas bertahun hidup bersama neneknya, Han So-Hee yang berpindah ke daerah Ulsan (rumah ibunya) begitu kecewa selepas mengetahui mengenai hal ini," kata wartawan tersebut.
Kecewa dengan situasi itu, Han So-Hee kemudiannya membawa diri ke bandar Seoul untuk memulakan kehidupan yang baharu namun, hidupnya tetap diganggu oleh ibunya yang meminta pertolongannya untuk melangsaikan segala hutang yang ada.
Pelakon berusia 28 tahun itu bagaimanapun tetap membantu dan berjaya melangsaikan segala hutang dengan cara bekerja selama hampir 12 jam dan 6 hari seminggu di sebuah pub di sana.
Sehinggalah pada ketika Han So-Hee berjaya menempa nama di dalam industri hiburan, ibunya dilihat terus menerus mengambil kesempatan dengan membuat pinjaman dengan banyak sekali menggunakan namanya.
Tidak tahan dengan situasi itu, Han So-Hee dan syarikat agensinya, 9ato Entertainment mengeluarkan satu kenyataan mengatakan bahawa dirinya sudah tidak mahu lagi terlibat dengan sebarang hutang yang dibuat ibunya.
Kenyataan itu dibuat juga adalah untuk membersihkan nama baiknya yang sedang meningkat naik ketika itu.
"Ibu kepada Han So-Hee iaitu Puan Shin telah menggunakan nama Han So-Hee untuk membuka akaun bank.
" uan Shin membuka akaun bank tersebut ketika Han So-hee masih di bawah umur dan menggunakannya untuk membuat pinjaman wang tanpa pengetahuan pelakon tersebut.
"Beberapa kejadian serupa telah berlaku selepas Han So-Hee berjaya melangsaikan hutang tersebut malah, berlaku juga pemalsuan dokumen peribadi."
Selepas kami membawa perkara ini ke muka pengadilan, pihak mahkamah dengan jelas menyatakan bahawa Han So-hee tidak berkaitan dan dibenarkan untuk tidak membantu melangsaikan hutang ibunya itu," kata syarikat pengurusannya.
Sehingga ke hari ini, difahamkan Han So-Hee sudah tidak lagi perlu membayar segala hutang yang dibuat ibunya dan telah membuat keputusan untuk tidak lagi berhubung dengan wanita yang melahirkannya itu.
Sumber: Oh Bulan
|